Cukai minuman soda demi kesihatan rakyat?

Nasional
Typography

DALAM mempertahankan cadangan mengenakan cukai pada minuman soda, pimpinan Pakatan Harapan telah berhujah bahawa ia adalah demi kesihatan rakyat.

Malah, ada pimpinan mereka yang turut mengutarakan hujah seperti golongan B40 tidak perlu minum Cola-cola sebagai langkah membendung kemarahan kononnya cukai ini tidak akan terkena pada mereka.

Kesemua hujah-hujah yang diberikan oleh pimpinan PH sekarang sudah setaraf di zaman BN di mana rakyat terasa intelek mereka sedang dihina.

Selepas termansuhnya GST, semua rakyat memahami bahawa Pakatan Harapan perlu mencari alternatif mendapatkan pendapatan yang hilang daripada GST. Atas sebab itu, kita dapat melihat mengapa Tabung Harapan menerima sumbangan yang agak banyak.

Sebab itu, selain SST yang bakal dilaksana 1 September ini, cukai terhadap minuman soda pula dicanangkan. Asasnya adalah untuk mencari pendapatan untuk menampung kehilangan GST, tapi sedihya ia dicanangkan dengan hujah tidak masuk akal terutamanya atas alasan kesihatan kerana pada masa yang sama kerajaan bakal menurunkan harga gula.

Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh menggantikan cukai minuman soda demi kesihatan dan kesihatan sosial rakyat secara amnya yang boleh diterima dengan hati terbuka.

Pertama, kerajaan Pakatan Harapan boleh menaikkan lagi cukai rokok dan arak.

Kedua, kerajaan juga boleh memansuhkan kategori bebas cukai terhadap arak dan rokok di zon bebas cukai di seluruh negara.

Ketiga, kerajaan juga boleh menaikkan cukai judi kepada semua kedai nombor empat ekor agar tiket perjudian menjadi mahal dan tidak setimpal dengan hadiah yang diberikan.

Bukankah faktor kesihatan dan kesihatan sosial lebih relevan untuk ketiga-tiga contoh di atas yang bersifat tabiat tidak sihat dan haram di sisi Islam berbanding cukai terhadap minuman soda, yang asasnya bukan satu masalah sosial dan punca masalah kesihatan secara amnya?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Kubang Kerian
29 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 29/8/2018