Segera cegah impak kejatuhan Ringgit

Nasional
Typography

SEJAK PRU14 lalu, trend nilai matawang Ringgit Malaysia (RM) terus menunjukkan kejatuhan berbanding Dolar Amerika. Pada masa ini ia berada pada paras RM4.09 berbanding USD1 dan dijangka mencecah RM4.11 pada suku keempat 2018.

takiri1Kejatuhan nilai Ringgit ini pasti memberi kesan peningkatan terhadap kos tanggungan Kerajaan terutamanya apabila projek-projek pembangunan yang dilaksanakan adalah bergantung kepada barangan import.

Kejatuhan nilai Ringgit pada masa Indeks Harga Pengguna (IHP) dan kadar inflasi sedang meningkat juga pasti memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Pada Julai 2018, IHP meningkat 0.2% berbanding Jun 2018 menjadikannya bagi tempoh Januari hingga Julai 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.4%. Kadar inflasi juga meningkat dari 0.8 pada Jun 2018 kepada 0.9 pada Julai 2019 dan dijangka meningkat lagi kepada 2.5 pada suku keempat 2018.

Ditambah lagi, bermula September ini pengguna juga menerima kesan daripada pelaksanaan SST yang dijangkakan menaikkan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Perubahan rejim percukaian dari GST kepada SST pasti menjadi alasan dan sebab kepada kenaikan harga barang oleh pelbagai lapisan rantaian perbekalan bermula dari pembekal, pengilang, pemborong dan peruncit.

Tanpa menafikan adanya faktor luar kawalan bagi Kerajaan mengukuhkan nilai Ringgit, namun Kerajaan mesti segera melaksanakan tindakan bagi mencegah kesan kejatuhan nilai Ringgit ini supaya kos tanggungan Kerajaan dapat dikurangkan dan lebih utama rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.

Justeru, saya menggesa Kerajaan supaya:

(a) Menangguhkan pelaksanaan SST yang dijadualkan berkuatkuasa bermula September ini dan meneroka sumber pendapatan bukan cukai kepenggunaan yang lain.

(b) Menurunkan harga barangan dan perkhidmatan berkaitan keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan kesihatan.

(c) Meneruskan pemberian tunai seperti BR1M/Bantuan Sara Hidup terutamanya kepada golongan B40 serta nelayan, pesawah dan penoreh getah.

(d) Memastikan reka bentuk dan spesifikasi perolehan bagi projek pembangunan baru mengambilkira dan mengutamakan barangan dan perkhidmatan yang ada di dalam negara terlebih dahulu.

(e) Meneliti semula kos projek yang dilaksanakan dengan mengambil langkah menukar bahan-bahan dan komponen-komponen import kepada produk keluaran tempatan.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Rabu, 29 Ogos 2018 | 17 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 29/8/2018