Merdeka: Perjuangan ulama disepikan sejarah

Nasional
Typography

EUFORIA gembira dan keghairahan menyambut kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos separuh hambar, kibaran bendera oleh rakyat sangat dingin walaupun berlaku perubahan kerajaan pada PRU yang lepas. Jauh berbeda dengan semangat patriotik rakyat negara lain dalam menyambut tanggal penting kemerdekaan tanah air mereka. Kesilapan paling besar rejim pemerintah ialah tidak meluruskan sejarah perjuangan kemerdekaan. Hanya kelompok Nasionalis kanan yang dibesarkan sumbangan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, dengan menafikan peranan Islamis dan para alim ulamak.

Langit sejarah telah merakamkan seawal abad ke-20, telah menyaksikan kemunculan arus kesedaran Islam di Tanah Melayu dalam memperjuangkan nasib Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Antaranya gerakan perlawanan menentang penjajah yang berlaku di Kelantan oleh Tuan Guru Haji Hassan bin Munas (Tok Janggut) pada tahun 1915, juga kebangkitan ulamak dalam menentang penjajah Barat di Terengganu pada 1928 yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong beserta gerakan Sarekat Islam Terengganu yang mengibar bendera Khilafah Uthmaniah.

Kebangkitan Ulamak Tanah Melayu juga mengakar dari simbahan kebangkitan ulamak Islam yang berlaku di seluruh belahan dunia ini.

Islam telah menjadi pemangkin dan simbol penyatuan kepada kesedaran rakyat untuk menentang penjajah Kuffar sebagaimana yang dimanifestasikan oleh dua peristiwa tersebut di Tanah Melayu.

Di luar Tanah Melayu seperti Indonesia, Mesir, Libya, Algeria, Iraq, Iran, Sudan, Nigeria dan negara umat Islam yang lain. Islam telah menjadi kuasa penggerak yang ampuh dalam membajai perjuangan menentang penjajah Barat dan menyuntik energi perjuangan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.

Ulamak dan gerakan Islam telah menjadi pemacu utama dalam perjuangan menentang penjajahan di seluruh bumi umat Islam seperti Sheikh Abdul Quader al-Jazair di Algeria, Sheikh Umar Mukhtar di Libya, Sheikh Uthman Den Fodio di Nigeria, Hassan al-Banna di Mesir, Sheikh Amin al-Husini di Palestin, Sultan Hasanuddin dan Iman di Ponegoro (Perang Jawa 1825 - 1830) di Indonesia, Tuan Guru Hassan bin Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong (1922-1928) di Tanah Melayu.

Malangnya bagi umat Islam ialah walaupun kemenangan menentang penjajah adalah kerana kegigihan ulamak dan pendukungnya tetapi buah kemanisan kejayaan kemerdekaan telah dipetik oleh golongan Sekular berpendidikan Barat seperti Front Liberatian Nasionalis (FLN) di Algeria pada tahun 1962.

Soekarno dan kelompoknya di Indonesia dan Umno di Tanah Melayu. Kelompok ini yang telah mengisi kemerdekaan dengan sistem dan nilai-nilai yang ditinggalkan oleh penjajah.

Pada awal abad ke-20 juga telah berkembang gerakan Isla Islamiah telah mencetuskan fenomena bahkan meriuhkan seketika mengenai perbahasan agama di Tanah Melayu.

Gerakan yang juga digelar sebagai kaum muda ini, antara lain berpunca daripada pelajar-pelajar yang mendapat pendidikan di Timur Tengah yang memperjuangkan citra perjuangan agama yang perlu dimurnikan daripada khurafat dan bidaah, juga kesedaran pan-Islamisme bertolak daripada penjajahan yang menimpa umat Islam oleh kuasa Barat pada abad ke-19 dan abad ke-20.

Gerakan ini telah menyebarkan fahaman mereka melalui wacana penulisan, pendidikan dan aktiviti berpersatuan. Sedikit sebanyak, gerakan kaum muda ini telah menginspirasikan kepada orang Melayu untuk berpartisipasi dalam gerakan politik perlawanan dan juga menyuburkan dunia pendidikan yang akhirnya diterjemahkan dengan penubuhan Hisbul Muslimin pada tahun 1948 di Mahaad al-Ehya Asyariff Gunung Semanggol.

PAS sebagaimana gerakan Islam lain telah merakamkan nama di langit sejarah merupakan tuntutan beragama yang memerlukan kewujudan tanzim atau organisasi tersusun untuk menegakkan Islam.

Di Mesir tertubuhnya Ikhwanul Muslimin oleh Hassan al-Banna pada tahun 1928 di subcontinent tertubuhnya Jamaat-e-Islami oleh Maulana Maududi, Jamaah an-Nur di Turki, Majlis Syura Muslimin di Indonesia dan PAS di Tanah Melayu.

Sejarah penubuhan PAS adalah berkaitan dengan sejarah perjuangan Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam kontemporari yang telah diharamkan oleh penjajah British pada bulan Jun tahun 1948.

Hizbul Muslimin ditubuhkan Maahad ar-Ehya Asyariff di Gunung Semanggol, Perak dengan idea daripada tokoh-tokoh politik kiri seperti Dr Burhanuddin al-Helmy dan Kiai Masyhur Azahari, seorang pemimpin kanan Majlis Syura Muslimin (Masyumi).

Parti ini ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 1948 di bawah pimpinan seorang tokoh agama, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan didukung oleh kalangan elit agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama-agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama.

Pertubuhan politik Islam ini telah mengsasarkan tiga matlamat utama perjuangannya iaitu untuk membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan, membentuk Negara Islam yang bersifat sejagat dan menjadikan Tanah Melayu sebagai Negara Islam.

Dengan citra besar dan nuansa yang murni inilah yang memungkinkan British menghidu bahaya yang dibawa oleh Parti Islam ini yang dilihat mampu menggembleng sokongan orang Melayu. Penjajah British seperti yang diungkapkan Sir Lord Cromer (The Modern Egypt) tidak akan membenarkan tegaknya Negara Islam di mana sahaja wilayah jajahan British walaupun sesaat.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 28/8/2018