Nurul Izzah perlu 'move on'

Nasional
Typography

SAYA membaca bantahan ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Nurul Izzah Anwar terhadap pelantikan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor sebagai fasilitator rundingan damai Wilayah Selatan Thailand. Menurut Nurul Izzah, Rahim ialah seorang "penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah" yang merujuk kepada peristiwa mata lebam yang dialami oleh bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim 20 tahun yang lalu.

Pada saya, Nurul Izzah sewajarnya tidak membantah pelantikan yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ini. Sudah tentu Tan Sri Rahim mempunyai nilai keistimewaannya yang tersendiri sehingga menyebabkan dirinya terpilih menggalas tugas penting ini. Rekod pernah menunjukkan beliau berjaya melakukan tindakan pantas dalam masa beberapa saat yang akhirnya menggemparkan negara. Perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan di Selatan Thailand saya kira adalah satu perkara yang ringan baginya.

Bukan tahap Tan Sri Rahim untuk hanya mengerjakan ibadah korban senyap-senyap di Selatan Thailand seperti Menteri tertentu. Jika sekadar untuk berkorban dan mencari fakir miskin, sudah tentu di tanah air kita Malaysia masih ramai fakir miskin yang memerlukan. Bukanlah salah berkorban di Selatan Thailand, tapi tahap Tan Sri Rahim bukan di situ.

Saya kira Nurul Izzah perlu ‘move on’. Cerita mata lebam hanyalah luka kecil sahaja. Fikirlah untuk kepentingan masa depan negara. Tun Dr Mahathir sudah tentu masih mengingati dengan jelas peristiwa mata lebam tersebut apatah lagi beliaulah Perdana Menteri ketika peristiwa itu berlaku. Namun, jika beliau boleh melupakan kesilapan Tan Sri Rahim tersebut, kenapa tidak Nurul Izzah Anwar. Apatah lagi, pelantikan itu (jika benar berlaku) tentunya dalam pengetahuan Timbalan Perdana Menteri iaitu ibu kepada Nurul Izzah sendiri.

Jadi, terimalah keputusan kerajaan. Mana mungkin jika kita menanam lalang, kita dapat menuai padi.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas - HARAKAHDAILY 28/8/2018