Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi

Nasional
Typography

AMAT malang bagi Pakatan Harapan (PH) yang telah membentuk Kerajaan Persekutuan terus mengadakan Jelajah Malaysia Baharu untuk menjaja fitnah yang diulang-ulang sejak tiga tahun lalu.

Sepatutnya mereka menumpukan fokus untuk memulihkan kegagalan menyempurnakan 10 janji 100 hari dan meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur, tetapi sibuk dengan agenda ceramah ala pembangkang untuk membentuk kembali persepsi lapuk yang telah mereka doktrinkan selama ini.

Presiden PAN yang juga Menteri Pertahanan meniupkan kembali fitnah PAS terima duit Umno dan kerjasama kedua-dua parti itu dengan mengambil contoh yang berlaku di PRK Sg Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Malang sekali, beliau nampaknya sengaja mahu melupakan kes setiausaha politiknya yang dikaitkan dengan salah guna kuasa dan rasuah mencecah RM800,000 masih disiasat oleh SPRM. Beliau ibarat ayam jantan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.

PH sepatutnya mengambil pengajaran tempoh 100 hari pentadbiran yang menunjukkan prestasi gagal. Pelbagai masalah yang lebih buruk telah dilakukan satu demi satu.

Rakyat terus ditekan dengan pelbagai sekatan kewangan. Bonus tidak diberi. Kenaikan gaji ditangguhkan. BR1M akan dihapuskan. Tol dikekalkan.

SST lebih menguntungkan peniaga. Harga petrol tidak turun. PTPTN tetap diteruskan. AES terus terpacak. Harga barang tidak turun secara signifikan. Polisi dan keputusan kerajaan banyak flip flop. Apa sebenarnya yang kerajaan telah lakukan?

Menteri Pertahanan dan semua anggota kabinet harus dengar dengan teliti teguran YAB PM dalam sesi townhall beberapa hari lalu. Beliau berkata, anggota kabinet tiada pengalaman dan tidak berapa tahu tentang tanggungjawab kementerian.

Oleh itu, manfaatkan masa untuk terus menambahbaik fungsi dan peranan di kementerian di samping fikir untuk laksana agenda-agenda yang lebih baik demi kepentingan rakyat.

Mereka tidak selayaknya terus menerus melakukan fitnah lapuk yang entah berapa kali dikitar semula. Lebih memalukan apabika ia dikitar sendiri oleh sang menteri yang tidak ubah lagaknya seperti cybertrooper upahan.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
15 Zulhijjah 1439 | 27 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 27/8/2018