Budaya cakap belakang

Nasional
Typography

MASALAH utama yang membelenggu pentadbiran organisasi biasanya berpunca dari kelemahan komunikasi. Orang Melayu sangat sukar untuk bersikap profesional, berterus terang dalam sebarang ketidakpuashatian sesama rakan sekerja. Mereka lebih suka cakap belakang dan membawa mulut, daripada bersemuka dan menyelesaikan segala sangkaan dan salah faham yang timbul.

Orang yang terasa diri diumpat juga suka respon dari belakang, membalas umpatan dengan umpatan. Ataupun jadi lemah semangat dan terus mengundur diri dari tugas.

Kononnya sebab tak mahu jadi berbalah. Nak jaga hubungan. Tapi dalam tak sedar, sikap bawa mulut itu umpama anai-anai yang merobohkan dari dalam!

Lebih parah, posting di media sosial! Dedah segala masalah di muka buku. Balas membalas posting tanpa sedikit pun niat untuk menyentuh butang private message.

Masalah tidak akan selesai dengan sikap begini. Orang Melayu perlu buang perangai negatif ini. Lebih-lebih lagi jika berlaku dalam gerakan Islam.

Kalau ada masalah, terus jumpa depan-depan dan terus terang. Baik berkata benar dan hadapi detik-detik awkward beberapa minit untuk selesaikan masalah, daripada menanggung derita rasa bertahun-tahun. 

Antara ciri orang yang tidak rugi di dunia adalah saling berpesan dengan perkara benar. Firman Allah S.W.T:

وتواصوا بالحق

"Dan mereka yang saling berpesan dengan kebenaran."

[al-Asr:4]

Sabda Rasulullah S.A.W:

قل الحق ولو كان مرا

"Berkatalah benar walaupun pahit."

[HR Ibn Hibban]

Tapi ingat juga satu perkara, mulut orang tak sama dengan mulut tempayan. Ia tidak boleh ditutup. Kalau tak mengganggu kerja organisasi dan hubungan silaturrahim, usah pedulikan apa orang nak kata. Jangan sampai kerja-kerja kita terganggu hanya sebab nak baiki tanggapan orang pada kita. Bukan redha manusia yang kita kejari, tapi redha Allah yang didambai. 

Kata hukama':

رضا الناس غاية لا تدرك ورضا الله غاية لا تترك
فاترك ما لا يدرك وادرك ما لا يترك

"Redha manusia adalah matlamat yang tak mungkin dicapai, manakala redha Allah adalah matlamat yang tidak boleh ditinggalkan.

"Maka tinggalkanlah apa yang tidak mungkin dicapai, dan capailah apa yang tidak boleh ditinggalkan."

Terima kasih kepada semua yang pernah menegur saya selama ini. Doakan saya istiqamah.

16 Zulhijjah 1439
27 Ogos 2018

 (ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 27/8/2018

 FB IMG 1535337709953