Kemelut politik

Nasional
Typography

REALITI politik kita hari ini, rakyat diheret untuk sekadar menjadi pemuas dendam sesama politikus. Rakyat didorong untuk menyertai perkelahian antara politikus yang hakikatnya tidak berkaitan dengan kepentingan sebenar rakyat. Isu-isu yang mahu diwayangkan mestilah memanipulasi slogan-slogan rakyat demi mendapatkan sokongan rakyat.

Terlalu subur cara berfikir dalam politik, jika seteru politik mereka buat sesuatu kesalahan maka ia akan dianggap salah. Namun jika mereka sendiri buat perkara yang sama, tidak mengapa pula. Bermaksud segala kritikan bukan atas dasar prinsip, melainkan semata-mata kerana kepentingan mereka sahaja.

Eskapisme yang selalu dipraktikkan, apabila terdedahnya penyelewengan di pihak mereka sendiri, maka mereka akan mendedahkan pula salah laku pihak seteru yang lebih kurang sama. Reaksi tersebut demi menutup mulut seteru dan menyampaikan mesej bahawa jangan dakwa kami sedangkan kamu lebih kurang sama sahaja melakukan kesalahan seperti kami.

Senario ini membenarkan dakwaan seolah-olah dalam realiti politik, rakyat hanya ditawarkan untuk memilih politikus yang 2x5 sahaja autanya.

Jika politikus mencapai kejayaan, mereka beroleh hasil. Rakyat pula hanya dapat api dendam yang tidak berkesudahan. Sedangkan dendam hanya menghakis upaya rasional dalam berfikir. Maka tidak hairanlah hari ini dengan pelbagai penipuan demi penipuan, terlalu sukar bagi penyokong-penyokong politikus penipu untuk kembali ke pangkal jalan. Alat yang tidak sedar diperalat.

Inilah senario yang membimbangkan kita. Corak politik seperti ini akan menyebabkan rakyat meluat dengan politik dan serik untuk mempercayai ahli politik. Lantas rakyat akan pukul rata membuat kesimpulan bahawa politik adalah lembah kejahatan dan semua ahli politik adalah Syaitan di dalamnya.

Dari itu rakyat yang celik tetapi tidak berupaya mengubah keadaan, mula menjauhkan diri dari politik. Serik. Sedangkan politik merupakan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Apa yang pasti, kemelut ini hanya akan mensusutkan kualiti politik dalam sesebuah negara. Masyarakat Barat sudah dan sedang merasai penderitaan akibat hilang kepercayaan terhadap politik. Adakah kita sedang menyusul?

Kita perlu sedar bahawa faktor utama yang melatari respon dan reaksi politik, adalah berpunca dari ideologi yang dianut oleh sesebuah parti dan politikus. Selagi rakyat tidak dimatangkan dengan ilmu yang berpedomankan wahyu, selagi itulah mereka amat berpotensi menjadi mangsa kepada amalan politik jahiliah. Islam yang sebenar-benar Islam adalah satu-satunya jalan keluar kepada segala kemelut ini.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
26 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 26/8/2018