Sampai bila laluan KB - KK kekal sesak?

Nasional
Typography

“SEMEMANGNYA bukan kerana kemurahan hati penjual daging, pembancuh air atau pembuat roti, kami dapat menikmati makan malam, tetapi kerana kepentingan diri mereka sendiri. Kami menyapa mereka, bukan sebab perikemanusiaan mereka tetapi kerana sikap mereka yang menyayangi diri mereka sendiri, dan tidak pernah berbicara dengan mereka mengenai keperluan kami, tetapi mengenai kelebihan mereka” -Adam Smith ( 1723-1790).

Pengumuman Perdana Menteri bahawa projek ECRL mungkin akan dibatalkan seakan mimpi buruk kepada seluruh rakyat Kelantan dan Pantai Timur. Kalaupun projek zaman Najib ini punyai sejuta masalah dan ketirisan, namun hasrat bekas Perdana Menteri sedikit memberi rasa gembira kepada rakyat Kelantan dan Pantai Timur. Kami diberi harapan bahawa kami tidak lagi diabaikan.

Tinggal kini ada satu lagi berita harapan kepada rakyat Kelantan iaitu projek Lebuh Raya Central Spin Road khususnya dari Kota Bharu - Kuala Krai - Gua Musang. Dalam persidangan pertama Dewan Rakyat baru-baru ini saya sudah bangkitkan supaya projek lebuh raya ini wajib dipercepatkan. Pakej atau fasa pembinaan perlu berjalan serentak.

Projek yang sepatutnya bermula awal 90-an ketika Rancangan Malaysia ke-5 ini tertangguh sehingga kini. Perlu diingatkan, pengumuman projek ini dibuat dahulu adalah ketika zaman Perdana Menteri ke-4 yang kini kembali menjadi Perdana ke-7.

Setakat ini hanya pakej 1B (Pasir Hor - Kadok) saja yang baru siap sepenuhnya dan dibuka kepada umum.

Musim cuti perayaan seperti ini jalan Kota Bharu - Kuala Krai memang terlalu amat sesak. Jika awal cuti pengguna yang melalui jalan menghala ke Kota Bharu akan ‘make jem’. Manakala bagi perantau dan rakyat Kelantan akan mengalami kedua-dua keadaan; kata orang Kelantan “make jem kedua-dua tapey”.

Pengumuman PM berkaitan ECRL dibatalkan, sepatutnya digantikan dengan pengumuman lain yang lebih menggembirakan rakyat Kelantan iaitu mempercepatkan pembinaan lebuh raya ini.

Rakyat akan lebih berterima kasih jika ianya menjadi keutamaan kerajaan. Mungkin juga sikit sebanyak boleh melupakan penderaan terhadap Kelantan bermula oleh PM ke-4 dulu lagi dengan pendekatan baru yang lebih lunak oleh PM ke-7 ini.

Apakah penderaan ini masih berkait rapat dengan keputusan rakyat Kelantan kekal memilih PAS? Walhal kita semua melaung dan mengagungkan prinsip demokrasi? Dalam masa yang sama rakyat Kelantan juga adalah pembayar cukai yang sama?

Firman Allah Taala:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

[an-Nahl: 90]

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
14 Zulhijjah 1439
26 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 26/8/2018