Ijtihad Presiden PAS sokong MCA, perlukah diikut?

Nasional
Typography

KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong dan Seri Setia, Selangor, dimulakan dengan seruan yang agak kontroversi oleh Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menyeru kepada ahli dan pengikut PAS yang layak mengundi di Balakong, agar memberikan undi mereka kepada MCA iaitu parti komponen utama BN. Manakala di Seri Setia pula, pemimpin BN, Umno secara khususnya, beramai-ramai datang ke program-program kempen PAS, disambut sebagai gabungan pembangkang, malah mereka turut berkempen bagi memastikan kemenangan kepada Dr Halimah Ali, calon yang diangkat oleh PAS.

Seruan ini diibaratkan curahan hujan lebat di tanah yang kering gersang, yang mengalami kemarau berpanjangan sebelum ini, iaitu seteru utama dahulu yang dianggap taboo dan mustahil mahu disebut bersama, apatah lagi bersekutu, sekarang bersalaman dan akan bergandingan menggegarkan kerajaan. Ia sekali gus memeriahkan kempen. Tetapi ia disambut dengan gegak gempita fitnah oleh PH, mengulang-ulang kembali bahawa sudah terbukti sejak sekian lama tuduhan mereka, PAS sememangnya ingin bersama BN. Beberapa bekas Adun PAS yang sudah terjun dari bahtera PAS pula, bingkas bangun menunding jari membuktikan kebenaran kata-katanya sebelum ini bahawa memang wujud kerjasama itu, sekali gus mahu menghalalkan terjunan mereka itu. Maka dilaung-laungkan kata-kata amaran peninggalan almarhum Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan bahayanya berbaik-baik dengan Umno.

Gaya kelakuan mereka tidak ubah seperti kisah anjing dengan bayang-bayang yang ternampak akan seekor lagi ‘anjing’ yang sedang menggigit tulang di dalam air. Lalu dia menerkam ‘anjing’ itu. Tetapi rupanya ia adalah wajahnya sendiri di dalam air. Akibatnya dia hampir tenggelam dan tulang pun hilang. PH buat-buat lupa yang mereka telah pun ‘berselingkuh’ dengan BN, objek yang mereka anggap kotor dan jijik itu di Kedah dan Perak atas apa yang mereka dakwa ‘halal’. Dalam masa yang sama, mengharamkan gabungan lain. Mereka cuba menerkam PAS dengan isu ini, dan mereka insyaAllah akan tenggelam dalam air akibat daripada perbuatan mereka sendiri. Rakyat pula bijak melihat gaya politik mereka. Begitulah perangai PH. Buat-buat lupa siapa yang dahulu memulakannya.

Berbalik kita kepada isu ijtihad politik Presiden PAS itu. Jika kita mengambil maksud ijtihad itu, ia berasal daripada perkataan ‘ijtihada’ iaitu bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Dari segi istilah pula, ia adalah berkaitan dengan mencurahkan tenaga sepenuhnya dan sebanyak mana usaha yang dijalankan bagi mendapatkan hukum dan dalil menerusi sumber syarak. Ijtihad tidak boleh dikeluarkan oleh bukan ulamak atau orang yang jahil untuk mengenakan hukum kepada orang ramai. Juga tiada ijtihad ke atas perkara yang qate’i atau muhkamat atau pasti seperti adakah solat itu wajib dalam keadaan biasa. Ijtihad dibolehkan kepada ulamak sahaja dan juga bagi hukum yang bukan qate’i seperti hukum membaca qunut ketika Solat Subuh. Dan politik Islam adalah salah satu ruang terbanyak bagi ijtihad diberikan.

Maka apabila pembenci Presiden PAS berkata bahawa ijtihad Presiden PAS salah sebab dahulu kata mereka MCA juga menentang Hudud, saya sebenarnya merasa gembira kerana ia adalah satu pengakuan bahawa Presiden PAS layak berijtihad. Dan seperti kenyataan di atas, hanya ulamak yang boleh berijtihad. Jika salah ijtihad itu, dapat satu pahala. Jika betul, dapat dua. Dalam menghina, mereka mengakui kehebatan Presiden PAS tanpa sedar. Ini terbukti kerana tiada mereka anggap Tun Mahathir berijtihad apabila sekarang memeluk DAP yang dahulu beliau tuduh rasis serta hal-hal buruk lain. Tidak juga mereka iktiraf sebagai ijtihad bilamana Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima kembali Tun Mahathir yang dulu pernah menuduh beliau bermain ‘kereta api’ dengan Azizan bekas pemandunya dan adik angkat beliau Sukma. Walaupun sehingga kini Tun masih belum menafikan dakwaan beliau itu.

Sebenarnya bangkangan oleh PH ini adalah manifestasi ketakutan mereka terhadap kemaraan pembangkang yang perlahan-lahan bergerak ke arah kesepaduan menentang kebobrokan parti pemerintah yang saban hari dilihat lebih teruk daripada BN dahulu. Sudah melewati 100 hari menduduki tampuk pemerintahan, PH masih gagal melunaskan janji-janji awal manifesto. Jika dilihat ijtihad Presiden PAS itu secara rasional, ianya jelas ditujukan kepada ahli dan penyokong PAS sahaja. Tiada kena mengena dengan pengundi parti lain. Sebagaimana mazhab, imam-imam mereka menjelaskan hukum fiqh kepada pengikut mazhab mereka sahaja. Tidaklah as-Syafie memaksa pendukung Hanbali menerima mazhabnya. Tidak juga Imam Malik menyuruh pengikut as-Syafie menetapkan diri mereka dengan ijtihad beliau.

Bagi BN, seruan ketua merekalah yang lebih aulia mereka ikuti dan bagi PH pula tidak diharapkan menyokong PAS atau BN. Jadi apa yang PH gerunkan dengan gabungan ini? PH juga mendakwa kedua-dua parti ini tidak diterima rakyat. Jadi bagi menjelaskan lagi maksud kebimbangan PH ialah, mereka sebenarnya tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Ketika menang PRU dahulu, mereka hanya berpaut pada dahan yang rapuh. Sokongan atas amarah rakyat terhadap BN. Ianya bila-bila masa boleh runtuh. Ditambah dengan kempen fitnah dan bohong PH yang terlampau sewaktu PRU dahulu, menimbulkan penyesalan kepada rakyat yang mengundi mereka. Buktinya ialah hampir 40 peratus rakyat di PRK Sungai Kandis, tidak keluar mengundi dan PH kehilangan kira-kira sembilan ribu undi. Dengan anggapan ahli PAS tidak keluar mengundi, PH telah memenangi kembali kerusi itu dengan imej tercalar. Jika diandaikan pula undi-undi penyokong PAS sebanyak tujuh ribu lebih itu diberikan kepada BN, maka secara lojiknya, kerusi itu akan jatuh kepada BN kerana PH menang majoriti hampir enam ribu sahaja.

Inilah perkiraan mudah politik yang difahami oleh parti-parti yang bertanding dan juga rakyat Malaysia yang jelas semakin tinggi cita rasa dan kefahaman politik mereka. Oleh itu kegelisahan dan kecemasan PH, telah ditunjukkan secara jelas kepada rakyat dengan PH kembali memainkan isu ‘Unity Government’ (UG) antara PAS dengan BN, tanpa mereka merasa malu dengan kedangkalan hujah itu. Jika pembangkang memenangi kerusi Balakong dan Seri Setia ini, maka isyarat semakin jelas bahawa lima tahun ini mungkin menjadi tahun-tahun yang paling panas buat PH. Bimbang mereka Datuk Seri Anwar, mungkin buat kesekian kalinya akan gagal lagi menduduki kerusi empuk Perdana Menteri kerana rakyat memberikan tanda bahawa mereka sebenarnya bukan sahaja mahu BN diturunkan, tetapi juga, janji-janji manifesto dilunaskan serta gaya politik matang. Ia bukan lagi barang mainan untuk memperbodohkan rakyat.

PAS tetap istiqamah dalam perjuangan mereka. Sebagaimana pesanan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika Umno benar-benar melaksanakan Islam, maka tiada keperluan PAS wujud. Jika itu berlaku, PAS mesti menjadi sebahagian daripada Umno kerana haram bagi mengadakan dua jemaah Islam pada satu-satu masa di tempat yang sama. Inilah pegangan Presiden PAS. Oleh kerana Umno tidak mahu menjadikan jemaah mereka sebagai sebuah jemaah Islam yang tulin, maka PAS diwujudkan. PAS telah cuba, sedang akan terus memandu mereka supaya Islam didaulatkan di Malaysia. Tidak kira siapa, jika bergabung dengan PAS, itulah perkara utama yang dipegang. Sama ada bersetuju atau paling tidak, bersetuju untuk tidak bersetuju. Islam jelas sebagai nilai terpenting PAS kepada semua. Sekiranya dua buah parti harapan Melayu Islam ini bergabung atas nama Islam, bayangkan kekuatannya. Buat waktu ini, BN adalah mudharat lebih kecil berbanding PH. Jelas kenapa BN menjadi pilihan PAS untuk mengajar PH. Maka ijtihad Presiden PAS selayaknya dituruti oleh ahli dan penyokong PAS sekurang-kurangnya untuk PRK ini. - HARAKAHDAILY 25/8/2018