Seri Setia perlukan Adun terbaik

Nasional
Typography

PRK SERI Setia adalah satu proses di mana para pengundi diberi mandat untuk memilih wakil mereka yang bakal mewakili suara mereka di peringkat negeri.

Ia satu tugas dan tanggungjawab penting bagi penyuburan proses demokrasi. Kita ditugaskan memilih pemimpin dan ini satu pertugasan yang serius.

Apa panduan kita?

Dua calon yang menawarkan diri ini maka suluhlah kemampuan dan kebolehan mereka, pengalaman dan akhlak kerana pemimpin mestilah lebih baik serba-serbi dari yang dipimpin.

Jangan pilih yang tiada kebolehan dan kemampuan kalau ada yang lebih baik dan tinggi pelajarannya. Jangan pilih yang memiliki kemewahan luar biasa, lebih disayangi kontraktor dari rakyat berbanding yang bersih dan hidup untuk rakyat.

Dr Halimah Ali calon PAS punya siri-siri rekod yang cemerlang dan pengalaman yang luar biasa. Beliau bukan sekadar bekas ahli majlis tetapi beliau bekas Exco dan Adun yang sumbangannya kepada Negeri Selangor masih disebut-sebut hingga hari ini.

Beliau seorang doktor perubatan lulusan luar negara selain punya asas ilmu agama yang membanggakan. Mampu dan fasih ber-Bahasa Melayu dan Inggeris serta bukan sahaja pegang jawatan parti di peringkat negeri beliau juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Kalau beginilah calon PAS pengundi di Seri Setia seharusnya bersyukur dan tidak perlu berfikir panjang.

PAS dan Umno kedua parti Melayu Islam terbesar dalam negara telah bermuafakat mengangkat Dr Halimah sebagai calon untuk membela nasib agama dan bangsa serta pengundi Seri Setia.

Marilah kita bertekad menjulang maruah agama, bangsa dan negara tercinta. Di hadapan kita diletakkan calon yang terbaik, tidak ada sebab rakyat pengundi Seri Setia tidak mengundi beliau 8 September nanti.

Bangkitlah dan bersama kita tuntut perubahan. Rakyat jangan dibohongi dan diperkuda lagi. Rakyat perlu dibela dan dipelihara oleh pemimpin yang bijak, bersih dan bertaqwa. InsyaAllah Dr Halimah mampu melakukannya. - HARAKAHDAILY 24/8/2018