Dr Halimah bekerja sama rata untuk rakyat

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N.32, Dr Halimah Ali berkata beliau memimpin dan bergerak berlandaskan prinsip yang seimbang dari segi pembangunan fizikal, infrastruktur dan sentiasan mengutamakan pembangunan insan dalam kalangan rakyat.

Mengulas peratusan pengundi di kawasan Dun Seri Setia yang dihuni 55 peratus kaum Melayu manakala 45 peratus lagi terdiri daripada Cina dan India, faktor itu tidak menjadi penghalang kepadanya untuk bekerja sama rata dan sama adil untuk rakyat sebagaimana pernah beliau mempraktikkan semasa menjadi Adun Selat Klang pada penggal lalu.

"BIla kita lihat kepada pembangunan insan itu, ada orang kaya tapi tidak semestinya dia bahagia, ada orang mungkin makan seperti orang kaya tetapi boleh bahagia, kalau masalah tentang perumahan dan kesempitan hidup, kita ada cara untuk atasinya. Hakikatnya, separuh dari masalah ini majlis perbandaran, kerajaan negeri dan sebagainya boleh berperanan menangani bebanan rakyat.

"Ada cara yang kalau kita gembleng bersungguh-sungguh menggunakan sumber ini rakyat secara ratanya akan terbela. Yang saya buat di Selat Klang ialah saya sebagai Adun di situ menggembleng isu rakyat di kawasan saya, saya mempengerusikan kami duduk berbincang mencari kelemahan dan kemampuan serta keupayaan untuk kita atasi bebanan rakyat," katanya kepada Harakah.

Beliau yang turun menemui penduduk di Dun Seri Setia pada majlis korban di Dun Seri Setia menegaskan, melihat keadaan yang dibebani rakyat di Dun tersebut banyak perkara yang harus dibuat di kawasan tersebut.

Ketika ditanya samada beliau ada menerima apa-apa tekanan dari pihak tertentu, sambil ketawa beliau berkata tekanan itu biasa kerana ini adalah pilihan raya dan menganggap perkara tersebut adalah perkara biasa baginya dan baginya beliau tidak mudah melatah malah ini merupakan pengalaman kelima beliau sebagai calon yang bertanding. – HARAKAHDAILY 24/8/2018