PH Kedah jangan bermain api

Nasional
Typography

PAS Kedah menggesa Kerajaan PH negeri jangan hanya menuruti sahaja kehendak kapitalis di negeri ini. Kerajaan dilantik bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan semua pihak, bukan hanya tentang wang, untung dan bisnes. Terdapat banyak tanggungjawab sesebuah kerajaan selain melayani kemahuan pihak pemaju yang tidak akan bernoktah.

Sudah wujud 'release mechanism' sejak sekian lama untuk menangani hal seperti ini, maka berbaliklah kepada proses itu satu persatu.

Masalah yang sering terjadi ialah mereka sedaya upaya memanipulasi 'release mechanism' dengan berbagai-bagai kaedah 'silap mata' untuk melepasi langkah-langkah wajib yang harus dipenuhi.

Umpamanya tidak mengulangi iklan tawaran penjualan mengikut kekerapan yang selaras dengan ketetapan 'release mechanism' tetapi mereka mendakwa ia telah dilakukan.

Mereka juga memberi maklumat tidak benar kepada bakal pembeli bumiputera kononnya unit yang dikehendaki oleh bakal pembeli telah terjual, sedangkan mereka berhasrat menyimpannya.

Penalti RM15,000 untuk membuka jualan kepada non-bumi adalah terlalu murah bagi mereka yang akan mencipta puluhan ribu pula keutungan mudah selepas unit itu dijual kepada pembeli yang sudah siap menanti.

Salah satu cara melupuskan tanah rizab melayu (TRM) di seluruh negara adalah melalui kaedah ini. Demikianlah TRM hanya berbaki 12 peratus sahaja daripada keluasan asalnya.

PH Kedah sewajarnya mengetatkan lagi 'release mechanism', memastikan setiap projek pembangunan lot kediaman dan komersial sesuai dengan kuasa beli rakyat negeri ini. Kerajaan tidak boleh menjadi jambatan kepada para kapitalis memerah khazanah negeri dan rakyat negeri ini, terutamanya mengambil mudah isu TRM dan keseimbangan pemilikan hartanah. PH diingatkan agar jangan jadi 'barua' untuk kaum dan pihak tertentu saja. Pandanglah masa depan rakyat dan negeri dalam aspek selain keuntungan material dan bisnes.

Saya ingin nasihatkan PH Kedah jangan bermain api, kelak membakar segalanya.

Muhammad Sanusi Md Nor
Ketua Pembangkang Dun Kedah
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah - HARAKAHDAILY 24/8/2018