Pengenalan Politik Kartel

Nasional
Typography

DALAM pemilihan pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang heboh membicarakan golongan kartel. Ramai tertanya-tanya maksudnya. Di sini, serba sedikit mengenai Politik Kartel.

Takrif Politik Kartel adalah politik yang menggunakan sumber negara untuk mengukuhkan organisasi. Itu penakrifan cara buku. Cara mudah faham orang kebanyakan adalah politik yang menggunakan segala sumber kerajaan dan negara untuk kepentingan pemimpin dan parti pemimpin.

Politik Kartel tidak akan berlaku jikalau sesebuah parti politik tidak menjadi parti kerajaan. Oleh demikian, ia mudah difahami dengan maksud politik kepartian yang mengutamakan rakyat kebanyakan dan berubah wajah menjadi Politik Kartel yang mengutamakan penggunaan penuh kuasa dan kekayaan kerajaan.

Perubahan wajah dari politik kepartian kepada Politik Kartel melalui beberapa fasa utama:

Fasa pertama:     Parti dapat menyuarakan hasrat rakyat dalam kerajaan.

Fasa kedua:     Parti menjadi orang tengah antara rakyat dan kerajaan.

Fasa ketiga:     Parti menjadi pihak ketiga (broker) untuk menyampaikan suara rakyat.

Persoalannya, apakah faktor perubahan ini? Tidakkah sama parti yang menjadi pembangkang dan menjadi kerajaan?

Penulis simpulkan faktor-faktor perubahan sebagaimana di bawah:

●     Parti pembangkang mendapat kuasa dan sudah menjadi parti kerajaan.

●     Mengambil peluang untuk menyingkirkan penyokong dan pendukung kerajaan terdahulu dengan penyokong kerajaan baru.

●     Pemimpin parti dapat campur tangan pentadbiran kerajaan sepenuhnya.

●     Mengambil peluang untuk mengukuhkan kedudukan sama ada dengan cara mengikut lunas undang-undang ataupun menyalahi undang-undang.

●     Parti juga memerlukan pendanaan negara bagi mengukuhkan kedudukan pemimpin dan parti.

Kalau nak kenal Politik Kartel, kita kena kenal sifatnya. Sifat ketara bagi Politik Kartel adalah seperti berikut:

●     Politik sebagai pekerjaan (dapat gaji, elaun, kehidupan lebih selesa).

●     Mengutamakan rangkaian autonomi (rangkaian pemimpin yang menjaga periuk nasi).

●     Mengutamakan individu dalam parti bukan organisasi dalam parti.

●     Menjadikan parti sebahagian dari kerajaan (parti dan kerajaan berpisah tiada).

Bagaimana pula cara Politik Kartel ini bertindak. Bila masuk part ini, memang nampak buruknya Politik Kartel (baca dengan tenang, elakkan emosi).

Strategi Politik Kartel sebagaimana berikut:

●     Mengurangkan saingan dalaman.

●     Menekan seteru dengan wang.

●     Melakukan tekanan terhadap negara agar mendapat imbalan.

●     Membina hubungan dengan golongan elit dan pemimpin masyarakat bukan orang bawahan.

●     Saling mengukuhkan kedudukan dengan rangkaian mereka.

●     Menjadikan rangkaian mereka sebagai satu sistem.

●     Mekanisme mempertahankan diri atau mempertahankan rangkaian kepimpinan parti dibentuk.

●     Mengurangkan pertembungan dengan kartel yang lain.

●     Mengukuhkan kedudukan dalam pemilihan.

●     Mengurangkan keterbukaan dalam pemilihan.

●     Menumpukan hasil bukan dasar.

●     Bekerjasama dengan profesional bukan rakyat kebanyakan.

●     Mengutamakan keseimbangan masyarakat bukan perubahan masyarakat.

●     Mengutamakan maklum balas (feedback) bukan kebersamaan dengan rakyat.

Usah cepat membentak dan membangkang tulisan saya di atas. Penulis cuba menjadi neutral sebaik mungkin. Oleh demikian, atas dasar sifat neutral ini, penulis sebut kebaikan dan keburukan Politik Kartel:

Kekuatan Politik Kartel:

●     Penguasaan organisasi.

●     Pembiayaan kewangan dalam pilihan raya.

●     Mendapat sokongan teknokrat dan ahli perniagaan.

●     Segera berkuasa dan meningkat populariti.

Kelemahan Politik Kartel:

●      Kelemahan sokongan akar umbi.

●     Terdedah amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

●     Lemah membentuk masyarakat sivil.

●     Risiko apabila hilang kuasa, pendedahan penyalahgunaan kuasa.

●     Segera tumbang selepas berkuasa.

Renung-renungkan situasi dan keadaan semasa. Usah gelabah. Politik Kartel tak sekuat mana pun, kelemahannya pada penyalahgunaan kuasa. Pembongkaran demi pembongkaran sahaja strategi terbaik untuk menjatuhkan Politik Kartel.

DR MUHAMMAD ATIULLAH OTHMAN - HARAKAHDAILY 23/8/2018