Antara dua kisah sembelihan

Nasional
Typography

DI DALAM al-Quran, Allah telah menceritakan dua kisah sembelihan yang menggambarkan perbezaan antara sifat iman dan sifat nifak.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

Allah menguji ketaatan Nabi Ibrahim dengan perintah supaya menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail. Ini merupakan syariat yang terlalu sukar bahkan sama sekali di luar jangkauan rasional seorang manusia yang normal.

Namun dengan tenang Nabi Ismail menyatakan kesanggupannya merealisasikan pelaksaan Syariat Allah, walaupun berdepan dengan risiko maut:

قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

"Berkata (Ismail): Wahai ayah kesayanganku, laksanakanlah apa yang telah diperintahkan. Ayah akan mendapati diriku insyaAllah dalam kalangan orang-orang yang sabar"

(al-Saffat 102)

Bani Israel

Ketika Allah mensyariatkan kepada Bani Israel melalui lisan Nabi Musa supaya menyembelih lembu, mereka menunjukkan respon hipokrit terhadap syariat. Allah merakamkan dialog mereka:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تَذْبَحُوا بَقَرَةً ۖ قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

"Dan ketika berkata Musa kepada kaumnya: Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk menyembelih lembu betina" Mereka membalas "Apakah engkau mahu mempersendakan kami?" Berkata Musa: Daku minta Allah jauhkanku dari tergolong dalam kalangan orang-orang yang jahil"

(al-Baqarah 67)

Respon Iman

Allah telah menguji Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan ujian syariat yang paling ekstrim. Perintah menyembelih anak sendiri dan merelakan leher disembelih merupakan syariat yang bersalahan dengan apa jua nilai logik manusia.

Namun, Nabi Ismail mengajar kita agar ke arah mempermudahkan usaha pelaksanaan perintah Allah. Sehingga syariat yang cukup sukar tersebut, menjadi mudah dilaksanakan. Nabi Ismail mencadangkan beberapa inisiatif.

Antaranya adalah, tiarapkan badannya supaya wajahnya tidak bertentangan dengan wajah ayahnya. Jika bertentang mata, dibimbangi ayahnya kasihan dan tidak sanggup menyembelih lehernya. Nabi Ismail mencadangkan agar ayahnya mengikat tangannya.

Semua itu sebagai gambaran, betapa mereka berusaha secara serius untuk memudahkan perlaksanaan syariat sekalipun ia terlalu sukar.

Reaksi nifak

Adapun kisah Bani Israel, mereka hanya diperintahkan untuk menyembelih lembu betina. Satu perintah yang pada asalnya cukup mudah untuk dilaksanakan.

Tetapi sifat nifak yang ada pada Bani Israel, mereka mengemukakan persoalan demi persoalan untuk menggambarkan kononnya syariat tersebut sangat mengelirukan dan menyusahkan:

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِيَ إِنَّ الْبَقَرَ تَشَابَهَ عَلَيْنَا وَإِنَّا إِن شَاءَ اللَّهُ لَمُهْتَدُونَ

"Mereka berkata "Tanyalah tuhanmu (wahai Musa) berkenaan (lembu betina yang dimaksudkan) apakah ia? Sesungguhnya lembu yang dimaksudkan itu sangat mengelirukan kami. Dan sesungguhnya kami insyaAllah dalam kalangan orang-orang yang beroleh petunjuk"

(al-Baqarah 70)

Antara dua "InsyaAllah"

Ungkapan "InsyaAllah" Nabi Ismail menggambarkan, baginda berusaha dengan serius ke arah pelaksaan Syariat Allah walau apa risiko sekalipun.

Sementara ungkapan "InsyaAllah" yang diucapkan oleh Bani Israel hanyalah sebagai ayat pemanis untuk melindungi sifat mereka yang gemar menyusah-nyusahkan pelaksanaan Syariat Allah.

Persoalannya dalam konteks komitmen melaksanakan Syariat Allah, kita umat Islam hari ini mewarisi sifat iman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, ataupun mewarisi akalan nifak Bani Israel?

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang - HARAKAHDAILY 23/8/2018