Figura muslimat barisan hadapan misi ummah

Nasional
Typography

PERSAHABATAN kami panjang di medan jamaah dan misi bantuan kemanusiaan, banyak kisah suka duka dan aku mengingati Dr Hajjah Halimah Ali (AJK PAS Pusat yang juga mantan Exco Selangor) sebagai Calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi PRK N.32 Seri Setia sebagai seorang yang sangat dedikasi menggalang apa sahaja amanah di pundak bahu.

Nama sebaris dengan doktor-doktor PAS yang mengharum nama dalam medan operasi masyarakat, tak lelah membantu manusia tanpa mengira ganjaran, Dr Abdul Rani Osman, Dr Alias Razak, Dr Izani, Dr Suhazeli, Dr Azman Ibrahim, Dr Yunus Khairi, arwah Dr Lo'lo Ghazali, Dr Rainey Azmi dan ribuan doktor yang lain.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA untuk kami berangkat ke Bantul yang digoncang gempa bumi pada tahun 2006, sehingga mengorbankan enam ribu nyawa. Aku masih terbayang wajah cemasnya kerana tidak dapat melepasi kaunter imigresen kerana tarikh pasportnya kurang daripada enam bulan daripada tarikh luput. Kami melambainya daripada jauh dengan harapan beliau akan menyusul dengan team bantuan kemanusiaan yang lain selepas memperbaharui pasport antarabangsa beliau. Sedang kami mengemaskan tali sabuk keselamatan pesawat, beliau tiba-tiba masuk ke dalam pesawat dengan senyuman menyeringai dengan matanya yang sepet mengecil.

"Macam mana imigresen boleh lepaskan doktor?" Tukas seorang anggota misi bantuan kehairanan. Aku tak terbayang bagaimana ilmu pujukan tahap tinggi doktor Muslimah ini mampu mencairkan pegawai imigresen. Beliau menyarung vest hitam berlogo Yayasan Amal Malaysia dan sehingga kini beliau ialah Pengerusi Relawati YAM.

Kami menghulurkan bantuan kemanusiaan di Desa Kaliurang, berhampiran Gunung Merapi. Dr Halimah merawat mangsa-mangsa gempa bumi yang masih dalam keadaan trauma, pelbagai gerakan swadaya masyarakat lain juga berkampung di sekitar kawasan bencana. Aku salute pada para doktor relawan yang memberikan masa berharga mereka untuk membantu manusia lemah dan tertindas tanpa apa-apa bayaran, bahkan terbuka pada risiko gempa susulan.

Aku juga sempat bersama beliau dengan relawan-relawan YAM, Muslim Care Malaysia ke program kebajikan dan dakwah di Pulau Ketam. Seorang tokoh pimpinan Muslimat yang ringan tulang dan banyak idea, sering menghindari wilayah intrik dan polemik. Sosok ini bukan sekadar popular di Selangor, namun namanya dikenali di peringkat nasional.

Beliau dilahirkan pada 27 Jun 1960, dengan darah kacukan Cina dan mampu bertutur banyak bahasa. Insan bertuah ini memiliki pendamping hidup yang juga aktif bersama masyarakat iaitu Dr Ahmad Supian. Sibuk di medan politik dan dakwah tidak bermakna meninggalkan urusan mendidik anak-anak, enam cahaya matanya juga menggalang gelaran doktor walaupun beliau membuka ruang anak-anak memilih profesi dan kerjaya. Dr Imran, Dr Khadejah, Dr Zaid, Dr Zubir, Dr Hafiz, Dr Zaid dan Dr Liyana.

Calon Seri Setia ini mendapat pendidikan tinggi di Australia, iaitu di Elizabeth Matriculation College, Hobart. Seterusnya menyambung pendidikan ijazah pertama di sebuah kampus ternama yang melahirkan ramai pakar perubatan iaitu Universiti Tasmania. Dalam usaha memantapkan ilmu dan tsaqofah dalam perjuangan Islam, beliau juga menyambung pendidikan Islam dan mendapat Diploma Tasawwur Islam daripada pusat pendidikan PAS yang bercita mengulamakkan profesional, Institut Latihan Kepimpinan Dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

Beliau memenangi kerusi Adun Selat Klang pada tahun 2008, seterusnya namanya mula meniti di bibir rakyat dan peminat-peminat politik. Halimah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Adun Selat Klang (2008-2014). Beliau memegang portfolio Pendidikan dengan pelbagai program pemerkasaan ilmu dan pendidikan diatur untuk rakyat Selangor. Sebagai negeri maju, Selangor membina mercu tanda pendidikan untuk rakyat, antara memiliki perpustakaan yang terbaik di negara ini.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Beliau memajukan pendidikan tinggi di Selangor iaitu UNISEL serta Pengasas Yayasan Pendidikan Islam Selangor.

Halimah Ali memacu pelbagai idea untuk kesejahteraan Selangor, antaranya mengasaskan Model Pembangunan Modal Insan Kerajaan Selangor (SPIES) serta membuka ruang pada rakyat untuk menyertai bidang kebajikan dan dakwah melalui GeMS dan juga beliau terlibat dalam mengasaskan Pasukan Sukarelawan Briged Amal Selangor (BASE).

Minat yang mendalam dalam bidang pendidikan menyaksikan usaha beliau mengasaskan Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS) dan juga mengasaskan Kelas Agama Menengah Arab (KAMA).

Amat malang bagi pengundi Seri Setia jika mengabaikan ilmu, bakat, kompetensi dan qudwah berkeluarga yang ada pada Dr Halimah Ali. Jangan kerana ketaksuban maka kita menutup mata pada insan yang sudah terbukti berjasa pada masyarakat. Beliau lebai profesional yang mampu menjadi jurubicara yang hebat di Dun Selangor, mengartikulasi dengan baik isu dan permasalahan rakyat. Beliau bukan 'pasu bunga' yang terhias indah!, Dun Selangor perlukan pengkritik dan pembangkang yang cerdas dan genius, apatah dengan dua penggal yang cemerlang Dr Halimah di Dun Selangor sebelum ini.

(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Kerja Lujnah Politik Pusat) - HARAKAHDAILY 21/8/2018