Tuntut tingkatkan tahap keselamatan universiti

Nasional
Typography

DEWAN Muslimat PAS Negeri Sabah menyatakan sokongan terhadap solusi yang telah diutarakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Siti Zailah Mohd Yusoff dalam Sidang Parlimen 15 Ogos lepas. Susulan kes cubaan rogol di Universiti Malaysia Sabah 13 Julai yang lalu. Ekoran daripada kes tersebut, pelaksanaan penambahbaikan tahap keselamatan khususnya asrama Mahasiswi haruslah dipandang tegas.

Hal ini dikatakan demikian kerana kes yang berlaku melibatkan maruah seorang pelajar perempuan dan universiti merupakan gedung ilmu yang sepatutnya menjadi tempat menuntut ilmu dengan aman dan tenteram.

Antara tiga solusi yang telah disebutkan oleh YB Zailah ialah melantik Penyelia Wanita sahaja di asrama Mahasiswi untuk memantau dan memastikan keselamatan Mahasiswi terjaga.

Memasang CCTV di setiap blok asrama Mahasiswi untuk sentiasa memantau suasana asrama agar Mahasiswi sentiasa dalam keadaan selamat.

Memperbaiki kerosakan fasiliti asrama seperti bumbung bangunan, tombol pintu dan pagar di sekitar universiti agar tidak ada lagi pencerobohan pada masa akan datang.

Kami berharap solusi yang dikemukakan dipandang serius dan dilaksanakan secepatnya agar kes cubaan mencabul maruah Mahasiswi ini tidak lagi berulang. Semoga mangsa yang terlibat mendapat keadilan yang sepatutnya dan diharap pihak pentadbiran universiti mengambil pengajaran dan tindakan yang sewajarnya.

NORSAH BONGSU
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah - HARAKAHDAILY 20/8/2018