Mampukah Seri Setia jadi Teluk Pasu kedua?

Nasional
Typography

WAKTU kerjasama PAS dan S46 mula-mula terbentuk dahulu, ramai juga pemimpin PAS di Kelantan yang membangkang kerjasama ini, terutamanya Wardi Ahmad, Sabri Muhammad, Ismail Noh, Mohd Noor Idris, Mustapha Taib, Wan Ismail Wan Ahmad, Wan Daud Wan Jusoh, Ismail Abdullah, Kamarulzaman Ismail dan Muhammad Awang Mat.

Bagi meredakan bangkangan ini, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 20 Mei 1989 telah memutuskan supaya Datuk Fadzil Mohd Noor, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Abdul Halim Arshad memberikan taklimat khusus kepada Ahli-ahli Badan Perhubungan dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan-dewan PAS Kelantan pada 9 Jun 1989.

Selain daripada pemberian taklimat ini, kerjasama PAS dan S46 menerima lonjakan yang lebih tinggi dan mencapai momentum yang lebih laju ekoran kejayaan calon PAS, Datuk Harun Taib, mengalahkan calon BN, Abdul Rahman Mohd, dengan majoriti 141 undi dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu, Terengganu, yang berlangsung pada 25 Jun 1989.

Kejayaan yang dicapai dengan bantuan S46 ini dikira satu kejayaan yang mengujakan memandangkan persaingan merebut kerusi pilihan raya antara PAS dan BN di Terengganu sentiasa sengit, apatah lagi dalam PRU7 sebelumnya calon PAS, Mahmood Sulaiman, telah dikalahkan oleh calon BN, Ismail Yusof, dengan majoriti agak besar, iaitu 776 undi.

Datuk Fadzil Mohd Noor sendiri menyifatkan kemenangan ini sebagai bukti kukuh penerimaan rakyat ke atas kerjasama PAS dan S46 manakala pemimpin PAS lain seperti Datuk Mustafa Ali dan Datuk Harun Taib menyifatkannya sebagai satu sejarah besar kerana PAS tidak pernah merampas kerusi milik BN dalam Pilihan Raya Kecil sebelum ini.

Situasi sama tidak mustahil boleh berlaku dengan kerjasama PAS dan Umno sekarang di mana ia berpotensi untuk menerima lonjakan yang lebih tinggi dan mencapai momentum yang lebih laju jika calon PAS, Dr Halimah Ali, mengalahkan calon PH, Halimey Abu Bakar, dalam Pilihan Raya Kecil Seri Setia, Selangor, pada 8 September 2018.

Bagaimanapun, situasi antara Pilihan Raya Kecil Seri Setia dan Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu adalah berbeza, apatah lagi bila jumlah majoriti yang diperolehi oleh calon PH dalam PRU14, Dr Shaharuddin Badaruddin, adalah terlalu besar di mana jika digabungkan undi calon PAS dan undi calon BN pun beliau masih menang dengan majoriti 14,809 undi.

Walau apa pun, apa saja boleh berlaku dalam dunia politik ini, tambahan pula bila isu-isu yang digunakan dalam PRU14 tidak lagi relevan dan isu-isu baru mula muncul dalam Pilihan Raya Kecil Seri Setia ini, yang ditambah pula dengan dinamika politik yang sedang berlaku dalam PKR dan PH, yang memungkinkan peralihan sokongan dapat cepat berlaku.

Dalam konteks ini, jika calon PAS, yang disokong oleh Umno, mampu mengurangkan lebih separuh margin kemenangan calon PH, ia sebenarnya sudah dikira satu kejayaan. - HARAKAHDAILY 20/8/2018