Perhalusi garis panduan pelancongan asing

Nasional
Typography

SAYA menggesa kerajaan memperhalusi garis panduan pelancongan asing di negara ini supaya mereka bukan sahaja dapat menikmati keindahan agama, adat resam dan budaya serta biodiversiti di negara ini bahkan juga pulang ke negara asal membawa nilai-nilai kesopanan yang mereka kecapi di negara ini.

Kes-kes pelancong asing tidak sopan secara relatifnya sangat terpencil berbanding jumlah pelancong yang masuk ke negara ini berjumlah 26 juta orang, tetapi itu tidak seharusnya menjadi alasan pihak kementerian untuk memandang sepi isu-isu yang berlaku.

Mengikut jawapan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, pihak Tourism Malaysia (TM) telah mengeluarkan satu panduan terhadap etika sosial serta sensitiviti di Malaysia, tingkah laku melawat rumah ibadah, perlakuan di khalayak ramai dan pakaian yang bersesuaian bagi majlis tertentu.

Walaupun perkara tersebut telah pun dilaksanakan pihak kerajaan, namun kejadian-kejadian pelancong asing tidak sopan yang berlaku setiap tahun menunjukkan bahawa kriteria yang disediakan itu masih tidak ditititkberat oleh para pelancong asing. Justeru, sewajarnya kerajaan perlu memikirkan langkah lebih pro aktif bagi memastikan panduan yang telah diwujudkan itu boleh sampai dan diakses secara mudah oleh para pelancong.

Saya juga ingin mencadangkan agar nilai-nilai tinggi agama Islam diperhebatkan promosinya melalui sektor pelancongan yang begitu meluas di negara kita. Jika para pelancong dihidangkan dengan iklan-iklan berbentuk pengertian ayat-ayat al Quran dan sunnah nabawi yang berkaitan dengan akhlak manusiawi, nilai murni dan seruan kepada kecintaan dan penjagaan terhadap keindahan alam semulajadi, ia akan mencetuskan fenomana holistik dalam diri para pelancong dan menjadi dorongan positif untuk mereka lebih mengenali agama Islam.

Saya mengharapkan agar pihak kerajaan mengambil perhatian terhadap isu ini. Walaubagaimanapun saya ingin menyatakan sokongan kepada pihak kerajaan yang telah sedaya updaya mempromosi pelancongan Islam di Malaysia. Ia sesuatu yang baik disebalik permainan media berat yang memburuk-burukkan imej Islam di mata dunia.

"Sejahtera Bersama Islam"

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Bachok – HARAKAHDAILY 18/8/2018