Mansuh Akta803: Mesej songsang PH

Nasional
Typography

MALAYSIA antara pengguna media sosial yang terbesar di Asia yang mencatatkan seramai 24 juta pengguna internet dan lebih 51 peratus menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai wadah berkongsi berita dan maklumat menurut laporan Digital News pada Januari 2018. Laporan tersebut turut menyatakan bahawa rakyat Malaysia mendapatkan berita melalui media sosial sebanyak 86 peratus, bercetak sebanyak 45 peratus, televisyen sebanyak 54 peratus dan radio (15 peratus). Ini menjadi bukti bahawa penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini adalah sangat dominan.

Pada April 2018, kerajaan terdahulu daripada Barisan Nasional (BN) telah membentangkan serta meluluskan suatu akta yang sangat baik, iaitu Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang kita semua sedia maklum; (i) menyediakan hukuman denda kepada sesiapa sahaja yang menularkan suatu bentuk berita tidak benar iaitu tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 6 tahun, (ii) menetapkan bahawa pemberhentian penularan harus dilakukan, serta (iii) kegagalan melaksanakannya boleh didenda sebanyak RM100,000 dan RM3,000 bagi setiap hari daripada hari disabitkan kesalahan.

Kita menyaksikan, akta ini menerima reaksi yang pelbagai, baik daripada rakyat bawahan, mahupun pemimpin parti-parti politik yang sentiasa dinilai tindak-tanduknya oleh rakyat. PAS bersetuju, manakala Pakatan Harapan (PH) membantah tidak bersetuju atas beberapa alasan yang begitu teknikal. Rakyat pula, ada yang menyokong dan ada pula yang sebaliknya. Pendapat yang menyokong sangat ramai kerana hal ini adalah selari dengan nilai-nilai Islam yang telah diajarkan, serta menepati logik akal fikiran yang sihat; namun yang tidak menyokongnya juga tidak kurang besar jumlahnya. Antara alasan yang dikemukakan adalah; akta ini akan menyekat hak kebebasan bersuara, oleh pengamal media terutamanya. Sebenarnya, pandangan ini adalah kurang tepat kerana Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang digubal sebelum ini, menerusi Seksyen 8A juga ada menggariskan kesalahan bagi penyiaran sebarang berita palsu. Namun yang demikian, meskipun adanya di situ sebuah peruntukan undang-undang, ia dilihat gagal untuk membendung penyebaran berita tidak benar yang semakin menular susulan ledakan teknologi maklumat, yang tumbuhnya seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan, bahkan saya percaya, tentu akan tumbuh lebih banyak lagi bila mana akta ini dimansuhkan.

Menyentuh kes-kes yang melibatkan berita tidak benar, khususnya yang melibatkan amalan berpolitik di negara kita; kita dapati kes-kes yang bakal saya kemukan ini bukan sahaja memadai bahkan cukup kuat bagi mendorong dan mendesak rakyat agar turut bersama-sama menyokong akta ini.

Pertama adalah pada 2014 yang lalu, di mana kita telah menyaksikan bagaimana bekas MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim terpaksa berdepan suasana fitnah ke atasnya demi sebuah matlamat jangka pendek sekumpulan pihak yang dinamakan sebagai Langkah Kajang. Tidak kiralah langkah itu berjaya ataupun tidak berjaya; persoalannya adakah ianya betul. Ketika kempen memaksa Khalid meletak jawatan, PKR dan DAP telah mengeluarkan sebuah dokumen kenyataan sebanyak 91 muka surat yang mengandungi tuduhan dan fitnah ke atas beliau berkenaan segala macam salah laku dan rasuah yang mana ia sering diulang-ulang di pentas-pentas ceramah mereka. Setelah menyaman PKR pada Ogos 2014, yang mana ketika itu, Khalid turut mengarahkan pembantunya untuk menyerahkan laporan PKR berkenaan kaitan pemimpin PKR dengan urus niaga yang meragukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memohon badan tersebut untuk menyiasat dakwaan ke atasnya – sekali gus menjadi orang yang julung kali meminta dirinya disiasat bagi kes rasuah, di Malaysia. Setahun kemudian, selepas Khalid diturunkan daripada jawatan MB Selangor, Khalid memenangi kes saman malunya terhadap PKR apabila bekas Setiausaha Agung PKR waktu itu membacakan permohonan maaf secara terbuka di dalam mahkamah. Permohonan maaf itu adalah tanpa syarat dan PKR mengakui setiap tuduhan dan dakwaan terhadap Khalid adalah tidak benar dan berniat memfitnah.

Kes kedua pula adalah kes yang berlaku pada tahun lepas. Lanjutan usul RUU 355 yang sedang hangat dibicarakan, Rafizi dalam debat Parlimen olok-olok anjuran PKR pada 10 April 2017 yang lalu mengeluarkan satu kenyataan bahawa pindaan Rang Undang-undang Mah­kamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) yang tidak menaikkan gaji Hakim Mahkamah Syariah akan meningkatkan ri­si­ko pengambilan rasuah dan sa­lah guna kuasa dalam kalangan Hakim-hakim Mahkamah tersebut. Beliau berkata, rekod Hakim yang ditangkap dan ditahan kerana ra­suah menunjukkan bahawa rekod Hakim Mahkamah Syariah adalah lebih tinggi berbanding Hakim Mahkamah Sivil. Sedangkan sehingga waktu itu, hanya satu sahaja kes rasuah melibatkan Hakim Syarie yang telah didakwa dan disa­bitkan kesalahan, sekali gus dapatlah dikonklusikan bahawa kenyataan Rafizi adalah merupakan suatu fitnah dan penghinaan kepada Institusi Kehakiman Syariah serta Hakim-hakimnya. Kita melihat, kenyataan ini tidak lain adalah untuk menimbulkan kekeliruan serta mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap Institusi Kehakiman Syariah dengan cara merendahkan martabat dan kedudukan Hakim-hakim Syariah yang selama ini dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat terutamanya dalam kalangan orang Islam.

Kes yang terakhir pula, adalah kes saman fitnah RM90 juta terhadap Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kewujudan kes ini juga turut menguatkan lagi hujah saya terhadap kepentingan akta ini. Setelah PAS difitnah bekerjasama dengan menerima sejumlah besar wang daripada Umno melalui beliau, kita akhirnya menyaksikan keputusan mahkamah yang memihak kepada PAS apabila editor Sarawak Reports, Clare Rewcastle Brown diperintahkan supaya membayar sebanyak RM156,197 (£28,900) atas tuduhan tidak berasas tersebut. Tuduhan ini dilihat tidak lain, bermatlamatkan supaya masyarakat menganggap bahawa PAS sememangnya mahu bergabung dengan Umno ketika Pilihan Raya Umum yang lalu. Walaupun sudah terbukti tidak berasas, namun fitnah ini masih lagi dipercayai oleh sebahagian besar masyarakat di Malaysia.

Tiga kes yang saya bawakan ini memperlihatkan bahawa ketiga-tiganya adalah berpandu kepada sikap matlamat menghalalkan cara, atau cara pandang sebagaimana yang pernah disebut oleh Nicollo Machiavelli, “the ends justify the means”. Akhirnya, ia membunuh nilai-nilai paling asas dalam sebuah masyarakat demi mencapai matlamat jangka pendek dan juga sekadar memenuhi kepentingan peribadi satu pihak sahaja lalu menindas yang lain daripadanya.

Apabila kita berbicara dari sudut pandang Islam, kita sedia maklum, bahawa fitnah adalah dosa yang begitu besar hukuman dan azabnya di sisi Allah. Ini termaktub dalam dalil-dalil yang ada. Al-Quran sebagai kitab mukjizat ilmu adalah suatu petunjuk di sepanjang zaman. Ia memandu setiap insan yang beriman, berakhlak dan bertaqwa. Ia menyedarkan betapa kewajipan kita di hadapan Allah adalah besar dan berat. Ia juga menuntut kita agar menggunakan segala nikmat pancaindera kurniaan Allah dengan betul dan tepat, kerana semuanya nanti akan dihisab di Hari Kiamat.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Isra’ ayat 36:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا

"(Terjemahannya) Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta rasa hati (akal fikiran), semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya mengenai apa yang dilakukannya.”

Di antara petunjuk al-Quran juga adalah bertabayyun. Ia memberi amaran kepada kita supaya tidak mengambil suatu maklumat yang sampai kepada kita dengan mudah, tanpa mengira benar dan salah. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 6:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ

"(Terjemahannya) Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka bertabayyunlah (selidikilah untuk menentukan kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Kepada mereka yang sikapnya suka menyebar berita bohong dan fitnah pula, ingatlah bahawa amaran Allah lebih keras dan janji-Nya adalah benar. Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 19:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

"(Terjemahannya) Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara), sedangkan kamu tidak mengetahui (yang demikian).”

Firman Allah lagi dalam Surah al-Buruj ayat 10:

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ

"(Terjemahannya) Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan fitnah (bencana) terhadap orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api neraka yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).”

Secara logik akalnya pula, akta ini dilihat sangat baik dalam aspek menjaga keselamatan bukan sahaja di peringkat individu, bahkan politik bernegara. Tidak kira sama ada yang mentadbir adalah Kerajaan BN, PH, atau siapa pun jua. Mana-mana kerajaan akan menanggung akibatnya jika sebaran berita palsu ini masih lagi dianggap mainan dan isu remeh-temeh. Yang lebih menakutkan, jika kita pula yang mengambilnya sebagai strategi dan amalan, semata-mata untuk mencapai menang yang sekejap.

Sirah menunjukkan, Rasulullah S.A.W sendiri bertindak menghancurkan Masjid al-Dhirar yang dibina oleh golongan Munafik untuk menyebarkan berita palsu dan memecah-belah kesatuan umat Islam. Justeru, seharusnya, di saat inilah kerajaan perlu meneladani dan mempamerkan kepada rakyat ‘political will’ yang tinggi bagi membendung amalan buruk ini, yang sayang sekali, apa yang berlaku hari ini adalah yang sebaliknya.

Maka, di bawah tajuk ini juga, saya berasa terpanggil untuk mengemukakan beberapa cadangan lain yang perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan bagi membendung sedikit sebanyak; mara bahaya, fitnah dan keburukan gejala media sosial yang tidak terkawal hari ini, demi kebaikan semua rakyat; baik Melayu, India mahupun Cina. Baik yang beragama Islam, mahupun yang bukan.

Memastikan wujudnya sebuah undang-undang yang berkesan bagi menyekat penularan berita tidak benar, dalam masa yang sama ia mestilah tidak disalahgunakan atau bersikap bias kepada mana-mana pihak yang berkepentingan.

Sentiasa menyemak semula dan melakukan pindaan penguatkuasaan supaya akta ini lebih efektif, sekali gus mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dalam setiap maklumat yang disebarkan; bukannya bergerak semula ke belakang.

Menghidupkan kesedaran rakyat bahawa fitnah perlu dibendung. Antara modus operandinya adalah pemerkasaan sistem pendidikan dengan memasukkannya ke dalam mana-mana topik pelajaran dalam silibus pendidikan anak-anak hari ini, seperti Subjek Moral, Subjek Pendidikan Islam ataupun Subjek IT; yang mana dirasakan sesuai. Subjek ini berperanan memberi fokus terhadap isu-isu berkaitan, termasuklah bahaya fitnah dan panduan menggunakan media dengan betul dan wajar. Ini memerlukan peranan dan penggemblengan tenaga daripada pihak Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Komunikasi.

Sekali lagi, saya dengan ini menegaskan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar ini adalah tidak wajar dimansuhkan dan seharusnya disokong walau siapapun jua yang mengusulkannya. Sebaliknya, ia boleh dipinda dari masa ke semasa bagi menambah baik akta sedia ada jika terdapat kekurangan dan sedikit kecacatan. Ingatlah, kita diberi amanah dan rakyat yang besar jumlahnya sedang menilai bagaimana kita boleh sampai kepada suatu keputusan yang sangat dangkal; bercanggahan dengan Hukum Islam serta logik akal seorang manusia yang sihat akal fikirannya.

Hanya pencuri yang takut dengan hukuman mencuri, dan hanya yang menyebarkan berita tidak benar sahaja yang takut dengan hukuman yang kita bincangkan hari ini. Jika tidak mahu dianggap oleh rakyat sebagai penyebar berita tidak benar, maka buktikanlah dan perkasakanlah undang-undang ini sehabis baik, tanpa perlu berlapikkan alasan-alasan teknikal yang maksudnya tidak lain cuma untuk menafikan undang-undang yang lebih tegas ini.

Ya, kita bebas bersuara. Tapi, bukanlah bebas tanpa ada sempadan, pagar dan batas. Kebebasan tanpa batas, sebenarnya ia sendiri adalah suatu bentuk penghambaan, iaitu penghambaan kepada nafsu dan kehendak diri sendiri yang selalu pada akhirnya mendorong manusia ke lembah kehinaan. Kebebasan yang betul, adalah kebebasan yang berpandukan kepada prinsip betul salah, sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah, walaupun ianya, dalam beberapa keadaan sangat berlawanan dengan kehendakl peribadi kita.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 21:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"(Terjemahannya) Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu, Tuhan yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”

Terakhir daripada saya, saya menyeru, marilah kita menggembleng tenaga, mencari jalan untuk terus tunduk patuh kepada perintah Tuhan, bukannya mencari jalan untuk semakin jauh daripada perintah Tuhan.

Firman Allah dalam Surah at-Talaq ayat 2:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

"(Terjemahannya) Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)”

Teks perbahasan: RUU Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) pada 16 Ogos 2018, Dewan Rakyat. Perbahasan oleh Ahli Parlimen Sik tidak dapat disampaikan kerana ketiadaan ruang waktu dan luang peraturan Dewan Rakyat.

AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik / Timbalan YDP PAS Kawasan Sik - HARAKAHDAILY 17/8/2018