Martabatkan BM dalam agensi kerajaan

Nasional
Typography

GENAP 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), antara aspek yang seakan terabai dan mengalami pemencilan ialah usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Kita memiliki segerombolan para Menteri dan Timbalan Menteri yang sangat lemah penguasaan Bahasa Kebangsaan, malah sering meremehkan bahasa ini dengan menganggap Bahasa Kebangsaan tidak penting. Mereka memuat turun kenyataan media dalam Bahasa Ibunda tanpa mempedulikan bantahan tokoh-tokoh budaya dan pencinta keamanan negara.

Usaha merobek Bahasa Kebangsaan akan memberikan dampak yang sangat negatif kepada masa depan negara, termasuk usaha mengiktiraf UEC. Persijilan melalui Pendidikan Swasta Cina yang tidak mengutamakan Bahasa Kebangsaan malah menebalkan politik komunal di negara ini.

Memperkasa Bahasa Malaysia adalah suatu perjuangan yang mesti dipertahankan agar Bahasa Kebangsaan sentiasa dimartabatkan kedudukannya di negara ini. Pelantikan beberapa tokoh yang mengetuai beberapa agensi penting negara dari kalangan bukan berbangsa Melayu serta tidak mahir menguasai Bahasa Malaysia akhir-akhir ini menjadi isu yang perlu dijadikan iktibar betapa Bahasa Kebangsaan ini semakin terpinggir dan tidak dipedulikan.

Kerajaan sepatutnya sedar mengenai perkara ini dan serius bagi memastikan semua agensi kerajaan dan swasta, pemimpin politik, institusi pendidikan dan syarikat serta badan berkanun di negara ini menggunakan Bahasa Malaysia. Jika dibiarkan, rakyat semakin melupakan Bahasa Malaysia dan menjadikan Bahasa Ibunda mereka sebagai medium komunikasi. Kesannya, semangat patriotik dan perpaduan dalam negara semakin longgar dan lemah.

Tindakan terbaharu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menggunakan Bahasa Inggeris untuk operasi dan taklimat harian semakin menunjukkan usaha meminggirkan Bahasa Malaysia. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun seperti mana yang dilaporkan oleh portal berita Malaymail, arahan belajar Bahasa Inggeris dalam komunikasi datangnya dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Justeru, PDRM akan menggunakan medium Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi termasuk dalam penulisan mereka di masa-masa akan datang. Perdana Menteri juga mengelak untuk menjawab isu ini di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man minggu ini.

Langkah PDRM adalah sesuatu yang tidak wajar. Sebagai pasukan utama menjaga keselamatan dalam negara, PDRM perlu menjadi contoh kepada masyarakat dengan menjadikan entiti mereka dihormati, berintegriti dan dirujuk oleh semua bangsa. Mereka perlu mengekalkan penguasaan Bahasa Malaysia dan mana-mana pihak di dalam negara ini yang mahu berurusan dengan mereka, perlu menguasai Bahasa Malaysia. Malah, tahap penguasaan Bahasa Malaysia dari kalangan anggota PDRM perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa dan zaman. Ia adalah pendidikan berterusan supaya semua pihak menghormati Bahasa Kebangsaan ini.

Mempelajari Bahasa Inggeris tidak menjadi suatu kesalahan, kerana menguasai banyak bahasa selain Bahasa Malaysia (BM) adalah satu kelebihan. Tetapi meletakkan Bahasa Inggeris melebihi Bahasa Malaysia di dalam negara ini adalah satu kesalahan yang serius dan tidak patriotik. Ini adalah asas kepada usaha memecahkan kedaulatan negara agar rakyat yang berbilang kaum tidak lagi bergantung kepada BM dalam kehidupan harian mereka di negara ini, malah menganggap BM bukan lagi bahasa terpenting dalam negara.

Bahasa Kebangsaan mempunyai keunikan dan kekuatannya tersendiri. Ia patut dikagumi dan dibanggakan oleh semua kaum di negara ini. Masyarakat antarabangsa amat menghormati dan berusaha mempelajari BM kerana nilai seninya yang halus dan tinggi. Rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai jalur latarbelakang kaum, bahasa dan budaya dapat bersatu kerana menggunakan Bahasa Kebangsaan. Mengapa pula Kerajaan PH tidak berusaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum yang utuh selama ini? Apakah Kerajaan PH meragui keupayaan bahasa ini setelah hampir tujuh dasawarsa digunakan, atau kerana majoriti penuturnya terdiri daripada kaum yang terperuk ekonominya?

Bahasa adalah jiwa bangsa, kekalkan kedaulatan Bahasa Kebangsaan, malah sewajarnya Bahasa Kebangsaan menjadi cerminan arca perpaduan kepada tanah air yang berdaulat ini. Kalian bukan sahaja gagal melunaskan janji-janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya, namun juga gagal memberdayakan Bahasa Kebangsaan dalam kegunaan rasmi negara.

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 17/8/2018