Kesultanan Demak pembangkit Islam Jawa

Nasional
Typography

PULAU Jawa adalah pusat tamadun terpenting di Nusantara kerana pulau ini bukan sahaja memiliki kerajaan-kerajaan yang besar, tetapi juga mempunyai penduduk yang terpadat di dunia. Kejayaan Islam menguasai Pulau Jawa telah menamatkan sama sekali pengaruh politik Hindu di rantau ini, sekali gus menjadikan orang Jawa sebagai etnik Islam yang paling besar. Pada hari ini pun, jumlah penduduk Jawa ialah 145 juta jiwa, mewakili separuh dari jumlah umat Islam di seluruh Nusantara. Kerana itu, gerakan dakwah yang dilancar ke atas Pulau Jawa pada 1404M oleh Majlis Dakwah Wali Songo telah memberikan dampak terbesar terhadap perkembangan seluruh dunia Islam pada abad ke-15M. Pada hari ini juga rantau Nusantara diiktiraf memiliki umat Islam paling ramai, berikutan Islamnya Pulau Jawa. Bahkan, dalam konteks pengenalan orang Melayu di dunia Arab, istilah "Jawi" atau "orang Jawah" menjadi sebutan untuk mewakili seluruh etnik Nusantara. Kerajaan Demak yang diasaskan pada 1475M telah menjadi batu tanda bahawa Islam telah menggantikan Hindu sebagai kuasa politik baru di rantau ini.

Pembentukan Kerajaan Demak telah diketahui umum sebagai kesan terhadap gerakan para ulamak, terutama Wali Songo, dan yang lebih penting juga ialah kedudukan Demak sebagai pewaris legasi Melaka sebagai penyebar Islam. Tokoh-tokoh pengasas Demak seperti Sunan Gunung Jati dan Sunan Fatahillah adalah dari kalangan ulamak yang pernah mendalami ilmu agama di Melaka sebelumnya. Mereka memainkan peranan besar dalam meng-Islamkan Raden Patah, putera Raja Mahapahit terakhir, Prabu Brawijaya V. Selepas memeluk Islam, Raden Patah menjadi murid kepada Sunan Ampel salah seorang tokoh Wali Songo. Sebelum berdirinya Kerajaan Demak, Pulau Jawa bersama hampir seluruh Alam Melayu menjadi taklukan Kerajaan Hindu Majapahit (1293-1527M). Selepas kematian Mangkubumi Patih Gajah Mada pada 1365M, Islam mulai berkembang dan Wali Songo mula bergerak aktif sehingga dapat meng-Islamkan putera-putera Majapahit. Dari situlah berdirinya kerajaan Islam Demak menggantikan Kerajaan Hindu Majapahit.

Kemasukan Islam di Jawa: Beberapa informasi awal

Sejarah kemasukan Islam ke Nusantara sentiasa dikaitkan dengan Aceh kerana wujudnya penempatan orang "Ta-shi" di sana sejak abad ketujuh Masehi dan berdirinya Kerajaan Islam Perlak pada 840M. Namun begitu, ramai juga pengkaji yang masih memperkatakan mengenai kedudukan Pulau Jawa sebagai tempat terawal yang menerima kedatangan Islam. Bahkan turut menjadi perbahasan ialah apakah Islam di Jawa dibawa oleh orang Arab atau ulamak-pendakwah dari China. Beberapa kronik Jawa seperti Babad Tanah Jawi, Sejarah Banten dan Purwaka Caruban Nagari, serta kronik China seperti Sam Po Kong telah mencatatkan peranan ulamak-ulamak China dalam proses peng-Islaman Jawa dan perluasan pengaruh Islam ke atas Majapahit. Sedangkan peranan ulamak berdarah Arab dalam kelompok Wali Songo tidak dapat ditolak berdasarkan artifak-artifak seperti batu nisan Maulana Malik Ibrahim di Kerisik.

Beberapa persoalan yang timbulkan:

●    Ramai pengkaji yang menganalisis rekod-rekod China mengenai Ho-ling atau Chopo (She-p'o) mendakwa kerajaan yang terletak di Jawa Tengah ini telah mengamalkan Hukum Syariat. Raja Kalinga (Ho-ling) yang terkenal, Ratu Shima (674M) telah memotong kaki puteranya kerana merompak harta negara. Pelaksanakan hukuman ini, didakwa oleh sesetengah pengkaji bahawa Kerajaan Islam telah berdiri di Kalinga.

●    Penemuan batu nisan Fatimah binti Maimun di Kerisik, Leran. Baru nisan ini bertarikh 475H (1082M) mencatatkan pemiliknya berketurunan Hibatullah dari Parsi. Tarikh 1082M ini dianggap sebagai tarikh kemasukan Islam ke Jawa, bahkan ada pengkaji mengatakan telah wujud Kerajaan Islam "Dinasti Hibbatullah" di Leran ketika itu berdasarkan kompleks pemakaman Islam yang wujud. Namun begitu, belum ada maklumat lain yang dapat menyokong dakwaan tersebut. Walaupun ada bantahan, tetapi sehingga kini, batu nisan ini menjadi bukti artifak tertua mengenai kemasukan Islam di Jawa.

●    Malauna Malik Ibrahiam, pendakwah Arab dari India dikatakan Mubaligh pertama yang bergerak menyebarkan Islam di Jawa pada akhir abad ke-14M. Pada 1404M beliau menubuhkan Majlis Dakwah Wali Songo untuk menyebarkan Islam dan wafat pada 822H (1419M). Maqamnya terletak di Kerisik, berhampiran Leran. Bermula dari gerakan inilah, Islam mulai berkembang dan diterima dalam Kerajaan Majapahit sehingga putera-putera istana memeluk Islam selepas pertengahan abad ke-15M.

●    Beberapa babad Jawa telah mencatatkan kehadiran Sheikh Abdul Rahman as-Syaukani yang dikatakan cucu saudara kepada Imam Ahmad bin Hambal ke Jawa pada akhir abad ke-13M. Beliau menyebarkan Islam di Lamujang dan mengahwini saudara perempuan Arya Wiraraja, Raja Lumajang. Lumajang didakwa oleh sesetengah pengkaji adalah Kerajaan Islam pertama di Jawa.

●    Babad, serat, hikayat dan kronik Jawa dan China merekodkan mengenai pergerakan ulamak China dalam menyebarkan Islam di Jawa, terutama zaman Majapahit. Dalam Sejarah Banten dan Hikayat Hassanuddin, pengasas Kerajaan Demak, Raden Patah dikatakan seorang Cina. Dalam serat Sabda Palon, dikisahkan bagaimana para ulamak Cina menyebarkan Islam melalui Champa, kemudian ke Palembang dan Jawa. Di Palembanglah Raden Patah di-Islamkan. Bahkan, Prabu Brawijaya V mempunyai isteri dari Champa dan China yang beragama Islam. Atas sebab ini juga, Laksamana Cheng Ho melawat Majapahit pada 1404M.

●    Selain batu nisan Fatimah binti Maimun, Sejarah Banten yang ditulis pada 1662M merupakan sumber bertulis tertua yang mencatatkan mengenai kemasukan Islam di Jawa. Ia mencatatkan mengenai kemasukan Islam di Leran, tetapi mengatakan Puteri Dewi Suwari, puteri Leran ditunangkan dengan Raja terakhir Majapahit. Kebanyakan cerita lisan di Leran mengatakan Puteri Dewi Suwari adalah pemilik batu nisan tua itu, sebelum Ludvic Kalus dan Claude Guillot, arkeolog Perancis membuktikan ia adalah milik Fatimah binti Maimun. Kebanyakan riwayat lisan di Jawa mengatakan Puteri Dewi Suwari adalah murid atau isteri Maulana Malik Ibrahim.

Demak: Kerajaan Islam pertama di Jawa

Kerajaan Demak yang ditubuhkan 1478M dikatakan oleh para sarjana bahawa ia adalah Kerajaan Islam yang pertama didirikan di Pulau Jawa, iaitu ketika Melaka berada di puncak pengaruhnya dan para Wali Songo telah berhasil meluaskan pengaruh Islam di Jawa, termasuk ke dalam Kerajaan Majapahit. Soal ini sebenarnya masih diperbahaskan dengan meluas oleh para pengkaji kerana sumber-sumber yang berasaskan kronik Jawa seperti sedjarah, hikayat, naskah, babad, serat, primbun, carita purwaka dan seumpamanya mempunyai catatan yang bersimpang siur. Kadang-kadang sama jalan ceritanya, tetapi berbeza wataknya; sama tokohnya, berbeza zaman (tahun)nya; selain diseliputi oleh unsur-unsur magis dan kesaktian yang berlebihan mengenai keramat para wali dan tokohnya yang semuanya menyukarkan pengkajian berdasarkan sumber-sumber tersebut, sedangkan sumber artifak seperti prasasti dan batu nesan amat terhad. Namun begitu, para sarjana telah membuat rumusan-rumusan yang hampir selaras dalam memahami kemasukan dan perkembangan Islam di Jawa.

Tiga perkara, mesti diperhatikan dalam mengiktiraf dan mengakui bahawa Demak dalam Kerajaan Islam yang pertama di Jawa kerana terdapatnya informasi-informasi yang berbeza. Tiga hal tersebut ialah:

I.     Dakwaan para pengkaji bahawa telah wujud Kerajaan Dinasti Hibbatullah di Leran sejak 1082M, berdasarkan baru nisan Fatimah binti Maymun. Ia dikatakan sebuah Kerajaan Islam yang membawa pengaruh Parsi. Namun begitu, belum ada satu hujah yang benar-benar meyakinkan dalam soal ini.

II.     Kerajaan Lumajang yang diperintah oleh Raja-raja Islam di Timur Jawa (Kabupaten Lumajang sekarang). Seorang peneliti, Agus Sunyoto mendakwa, berdasarkan artifak dan ideofak yang dikaji, telah wujud kerajaan Islam Lumajang pada akhir abad ke-13M, sezaman dengan Kerajaan Hindu Singhasari. Menurut Prasasti Mula Malurung, Raja Singhasari, Prabu Seminingrat Wishnu Wadhana (1250-1263M), mempunyai putera yang dilantik sebagai pewaris takhta bernama Kertanegara, Chakra Wardhana (Raja Madura) dan puteri Nararya Kirana (Raja Lamujang). Putera Nararya Kirana yang bernama Arya Wiraraja yang pernah menjadi Demung Singhasari, Raja Madura dan Raja Lamujang dikatakan beragama Islam, dan kehadiran pendakwah, Sheikh Abdul Rahman as-Syaukani dalam keluarga diraja Lamujang.

Pada zaman Kertanegara (1268-1292M), telah berlaku krisis kerana isu agama, sehingga akhirnya Raja Jayakatwang dari Kediri telah membunuh Raja Kertanegara dan menamatkan kerajaan Singhasari. Serentak itu, Arya Wiraraja menjadi Raja Lumajang, sebelum digantikan oleh keturunannya yang beragama Islam iaitu Arya Menak Koncar, Arya Wangbang Pinatih, Arya Wangbang Pinatih II, Arya Menak Sumendi dan Arya Tepasana. Arya Tepasana mempunyai puteri-puteri iaitu Nyimas Ayu Tepasai (isteri Sunan Gunung Jati) dan Nyimas Ayu Waruju (isteri Raden Mahmud anak Sunan Ampel). Atas asas ini, Agus Suntoyo menghujahkan bahawa Lamujang adalah kerajaan Islam pertama di Jawa, berdiri pada akhir abad ke-13M.

III.     Perluasan pengaruh Islam dalam Kerajaan Majapahit telah berlaku terutama pada zaman Sri Prabu Kertawijaya (1447-1451M) yang sering dikenalu sebagai Prabu Brawijaya V, iaitu selepas 40 tahun gerakan dakwah Wali Songo berlaku. Baginda mempunyai dua isteri beragama Islam dari Champa dan China serta memiliki tujuh putera yang beragama Islam. Baginda melantik putera-putera yang beragama Islam sebagai adipati (gabenor) seperti Arya Damar (Adipati Palembang), Raden Arak-kali Battara Katwang (Adipati Ponorogo), Arya Lembu Peteng (Adipati Pamadegan), Arya Menak Koncar (Adipati Lumajang) dan Raden Patah (Adipati Demak). Tokoh Islam lain yang dilantik ialah Arya Teja (Adipati Tuban), Arya Lembu Sura (Raja Surabaya), Syed Es yang digelar Sheikh Suta Maharaja (Adipati Kendal), Ali Rahmatullah (Bupati Surabaya) dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa banyak wilayah dalam Empayar Majapahit sejak pertengahan abad ke-15M sudah ditadbir oleh pemerintah Islam, termasuk Raden Patah yang kemudiannya mengasaskan kerajaan Demak adalah adipati Majapahit di sana.

Ulamak-Umarak: Model Kepemimpinan Demak

Satu aspek yang sangat menarik dalam meneliti Kerajaan Demak ialah peranan besar para ulamak, khususnya Wali Songo dalam pembentukan kerajaan ini. Peng-Islaman Raden Patah melalui abangnya, Arya Damar (Adipati Palembang yang dikenali sebagai Jaka Dillah atau Abdillah) telah membawa beliau berguru dengan Sunan Giri dan Sunan Ampel. Dengan dukungan para Wali Songo, Raden Patah selaku putera Prabu Brawijaya V telah diangkat menjadi Raja Demak yang bergelar Sultan Syah Alam Akbar pada 1478M. Sjamsudduha dalam kajiannya mengatakan 13 orang wali terlibat dalam pengangkatan Raden Patah sebagai pengasas Kesultanan Demak, dan keturunan mereka yang menjadi Sultan selepas itu kebanyakkannya adalah para ulamak yang taat menegakkan agama dalam pemerintahan mereka.

Usia Kerajaan Demak tidak panjang kerana ia runtuh diserang oleh Pajang pada 1547M.

Antara Raja-raja Demak ialah:

I.     Sultan al-Fattah @ Raden Patah (1478-1518M)

II.     Sultan Yunus @ Adipati Yunus (Pati Unus) (1518-1521M)

III.     Sultan Trenggono.(1521-1546M)

IV.     Sultan Prawoto @ Sunan Prawoto (1546-1547M).

Ekoran pemberontakan dan pembunuhan Sunan Prawoto pada 1547M, maka runtuhkan Kerajaan Demak dan diambil alih oleh Jaka Tangkir, penguasa Pajang.


MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
10 Zulqaedah 1439 / 24 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 14/8/2018