'Under the moonlight'

Nasional
Typography

PAS telah menelusuri perjuangan yang panjang bersama agenda Islam di tengah kepesatan pembangunan jiwa insan yang terbina dengan Sistem Pendidikan Sekular dan juga pembentukan biah acuan pemimpin yang bermazhabkan sistem penjajah.

PAS melalui jalan yang sangat sukar dan kadangkala begitu getir dengan tindakan dan serangan pembencinya, kecaman, tuduhan, fitnah malahan sehingga meragut nyawa, tanah perkuburan Kampung Parit Panjang, Kedah telah bersemadi kujuran 14 tubuh insan yang menjadi antara bukti begitu sadisnya perjalanan perjuangan PAS.

Di atas nama Islam PAS berjuang, di atas nama itulah juga PAS berhadapan dengan mehnah dan tribulasi perjuangannya. Pembencinya bagaikan pewaris hantu raya, silih berganti sejak PAS ditubuhkan sehingga kini, sepertinya tiada pernah sesaat mereka tidur atau berehat daripada menghisap darah hati dan jiwa ahli PAS.

Tuduhan purbakala bahawa PAS adalah penunggang agama, Ortodoks, jumud dan Sinetron ini bersambung-sambung seperti tiada penghujung, pembawa fitnah terhadap PAS sepertinya hantu raya yang semakin gemuk, segar dan tegar dengan fitnah politik terhadap PAS walaupun tiada bukti.

Namun ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W yang menjadi dasar perjuangan PAS adalah penawar paling mujarab untuk menghalau gangguan hantu fitnah tersebut, ahli PAS yang sentiasa ditarbiyyah dan ikhlas dalam perjuangan tidak terkesan dan sanggup bergelut mendepani cabaran musuh.

Kekuatan yang dimiliki oleh PAS bukan harta, bukan juga kerana kepakaran memfitnah musuh tetapi kerana Islam yang menjadi dasarnya dan juga kerana PAS dipimpin oleh mereka yang memahami Islam. PAS membina tembok kekuatan ahlinya untuk bersabar dan Istiqamah dalam perjuangan, tidak pernah berputus asa walau apa juga keputusan pilihan raya.

Hidupnya PAS kerana Islam, selagi Islam itu ada dan PAS tetap berpegang dengan-Nya, maka PAS akan terus hidup dengan Islam. Melainkan jika PAS mencabut Islam itu dari dasarnya, jika PAS masih menggigit kuat Islam itu dengan gerahamnya, maka orang yang mengharapkan PAS itu mati pasti akhirnya akan mati akalnya.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur - HARAKAHDAILY 14/8/2018