Bendung gejala songsang: Solidariti buat Dr Ilyani

Nasional
Typography

SEBAGAIMANA yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3(1), Islam merupakan agama rasmi di Malaysia. Mahupun begitu, realiti senario yang berlaku baru-baru ini mengenai keutuhan perkara tersebut semakin membimbangkan.

Dr Nur IlyaniPada 6 Ogos 2018 yang lalu, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang merupakan seorang pegawai perubatan bertauliah, telah mengeluarkan suatu komentar berkenaan kebimbangannya terhadap isu LGBTQ yang semakin menular. Walau mendapat sokongan yang kuat, dalam masa yang sama terdapat pihak yang melihat suara beliau ini sebagai ancaman dan diberikan tekanan termasuk mencabar profesionalism beliau.

Dewan Muslimat PAS Malaysia menyokong keberanian beliau dalam menyampaikan kebenaran dan menggesa hak bersuara wanita Islam sewajarnya tidak disekat.

Dalam masa yang sama, umum turut mengetahui betapa kebejatan masalah sosial masa kini yang menular semakin membimbangkan. Seharusnya segenap usaha perlu digembeleng untuk mencari solusi.

Menurut data yang dikeluarkan oleh 'Malaysian Aids Council' pada tahun 2016, sebanyak 46% kes baru HIV pada tahun tersebut adalah disebabkan kegiatan homo/bisexual. Manakala data dari 'HIV and AIDS Data Hub for Asia-Pasific' pula menunjukkan kegiatan LGBTQ menjadi penyebab utama risiko jangkitan HIV di Malaysia.

Terkini, kenyataan menteri di Jabatan Perdan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkenaan isu ini juga mengelirukan serta seolah-olah menunjukkan pengiktirafan terhadap kumpulan LGBTQ.

Akhir sekali, Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin menyatakan kebersamaan dalam solidariti buat Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi. Sesungguhnya seluruh Muslimat PAS Malaysia bersama-sama sepenuh hati turut membawa suara yang memperjuangkan keamanan serta keharmonian sahsiah dan rohani demi menuju Malaysia Sejahtera.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
14 Ogos 2018 / 2 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 14/8/2018