Mengapa beri keutamaan kepada syarikat asing?

Nasional
Typography

BARU-baru ini  Datuk Amar Abang Johari Abang Openg menjadikan China destinasi pertama sejak beliau dilantik sebagai Ketua Menteri, 13 Januari lalu. Beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bersama syarikat pembangunan pelancongan antarabangsa China, Beijing Glory International Culture Development Co Ltd di Nou Hotel, Beijing.  Beijing Glory akan mengambil alih pengurusan beberapa destinasi pelancongan seperti Bako dan Taman Negara Mulu; akan ada penjenamaan semula SEDC Sarawak Plaza.
 
Mengapa kerajaan Sarawak memberi keutamaan kepada syarikat dari luar untuk mengambil alih pengurusan beberapa destinasi pelancongan tempatan kepada syarikat asing? Adakah rakyat Sarawak tidak mampu untuk menguruskan syarikat pelancongan tempatan yang sedia ada?
 
Sarawak terlalu bergantung dengan syarikat asing dan pelabur dari luar untuk memenuhi keperluan tenaga pekerja untuk membangunkan Sarawak. Sepatutnya rakyat tempatan diberi keutamaan dulu dalam mana-mana projek kerajaan.
 
Apabila timbul isu kekurangan guru atau tenaga pengajar di Sarawak ada pihak yang tidak puas hati dan buat bising kerana tidak mahu orang luar datang ke Sarawak kononya mereka ini membawa budaya yang tidak sesuai dengan budaya orang Sarawak.
 
Mengapa kerajaan Sarawak tidak menyediakan pusat latihan atau tempat keperluan yang secukupnya untuk rakyat Sarawak supaya masalah kekurangan ini dapat diatasi sebelum menyalahkan pihak lain.
 
Mereka yang diambil bekerja itu bukannya orang asing tetapi rakyat Malaysia yang memberi khidmat kepada rakyat Sarawak yang memerlukan tenaga pengajar. Mereka bukannya tinggal lama di Sarawak selepas mereka tamat perkhidmatan mereka akan balik semula ke negeri masing-masing.
 
Apabila isu syarikat asing dan pekerja asing tanpa permit yang datang ke Malaysia yang membawa budaya yang tidak sesuai dengan masyarakat tempatan, mengapa pihak ini membisu. Adakah mereka ada kepentingan sehingga mereka tidak berani bersuara?
 
Isu seperti China Doll yang bekerja di pusat Reflexi dan pusat hiburan yang melalaikan dan merosakkan remaja tempatan perlu diberi perhatian. Mereka inilah sebenarnya yang merosakkan cara pemikiran dan budaya kehidupan masyarakat tempatan.
 
Kalau kerajaan Sarawak lebih memberi keutamaan kepada syarikat asing untuk menguasai beberapa syarikat tempatan akhirnya syarikat tempatan sukar untuk menjalankan urusan perniagaan mereka. Syarikat multi-bilion dolar dari luar mampu menguasai syarikat tempatan yang tidak mampu bersaing dengan syarikat gergasi dari luar.
 
PAS mengesa kerajaan Sarawak memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dan mereka yang mampu untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Sarawak.  Seperti "Projek keajaiban" di Johor, dengan banglo dan rumah berkembar berharga di bawah RM100,000, menyebabkan heboh di sini.  Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar  telah mengumumkan satu projek perumahan untuk rakyat Johor.
 
Kalau Johor mampu memberi projek perumahan mampu milik untuk rakyatnya mengapa kerajaan Sarawak yang mempunyai keluasan tanah dan punca pendapatan yang banyak tidak mampu memberi kemudahan untuk rakyat Sarawak.
 
Projek ini perlu diberi kepada syarikat tempatan yang layak dan dapat memberi manfaat kepada rakyat bukan kepada syarikat asing yang hanya mementingkan keuntungan semata. Utamakan rakyat Sarawak dan jangan gadaikan tanah Sarawak kepada pelabur asing demi mencari keuntungan yang akhirnya rakyat Sarawak akan terus hidup dalam kemiskinan dan terpinggir dari arus pembangunan.
 
Kita harap perkara ini mendapat perhatian serius daripada kerajaan Sarawak demi masa depan rakyat Sarawak sendiri. Jangan beri keutamaan pada pelabur asing dan berilah keutamaan kepada rakyat Sarawak sebelum orang lain menguasai tanah air kita. – HARAKAHDAILY 22/3/2017