Masa depan politik negara

Nasional
Typography

PADA hari Sabtu yang lepas, saya dijemput sebagai panelis untuk sebuah forum bersempena Malaysian Student Leaders’ Summit 2018, anjuran United Kingdom and Eire Council of Malaysian Students (UKEC).

Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, disusuli dengan ucaptama oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan ucapan penutup oleh YABhg Tun Daim Zainudin, Pengerusi CEP.

Forum yang bertajuk ‘The Malaysian Dilemma: The Future of Race-Based Politics in Malaysia’ telah membariskan panelis yang mewakili kemajmukan parti politik di Malaysia, iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki (UMNO), YB Steven Sim (DAP), Saudara Wan Fayshal (PPBM), dan saya, Syahir Sulaiman (PAS), manakala Saudari Dina Zaman (IMAN Research) bertindak sebagai moderator dengan baik.

Di awal pembentangan, Datuk Dr Asyraf meletakkan prinsip kesejagatan dan kepelbagaian bangsa yang terkandung di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 sebagai asas perbincangan. Ianya disambut oleh YB Steven yang membuka dimensi kemajmukan kaum di Malaysia yang perlu diraikan, manakala Sdr Wan Fayshal mengungkapkan falsafah politik dalam konteks identiti bangsa di Malaysia.

Saya pula menyentuh model kemajmukan kaum di Kelantan, dan mengajak audien untuk melihat kepentingan kanvas ekonomi dan perpaduan nasional melebihi tuntutan politik perkauman. Antara hujahan utama saya adalah:

1. Race-based politics are real, will always define us, and we need to think beyond it;

2. Beyond politics, it is the canvas of our economy that matters i.e. B40 of all races must have full access to public services, income inequality, corruption elimination etc; and

3. Beyond politics and economy, national unity remains our ultimate priority.

Sesi soal jawab sangat menarik, dan panelis dilontarkan dengan soalan yang sangat ‘berani’ oleh para peserta. Antara isu sensitif yang disentuh ialah faktor kekalahan BN dalam PRU14, hak dan keistimewaan Bumiputera, kedudukan Melayu-Islam dalam Perlembagaan, pendirian Islam dan PAS terhadap kemajmukan kaum, serta halatuju dasar ekonomi pasca PRU14.

Ternyata forum tersebut berjaya membuka dimensi baharu perbincangan topik yang sensitif ini secara lebih matang. Diharapkan diskusi sebegini tidak terhenti di sini, dan akan diteruskan untuk mencari formula terbaik bagi mencorak masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi Pemuda PAS
13 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 13/8/2018

ms