RM27 juta wang rakyat selenggara Equanimity?

Nasional
Typography

DALAM satu kenyataan, Peguam Jeremy Joseph yang bersama Pasukan Jabatan Peguam Negara yang melakukan pemeriksaan ke atas Kapal Mewah Equanimity mengumumkan kerajaan akan menanggung semua kos penyelenggaraan kapal mewah itu dalam proses siasatan yang dijangka mengambil masa enam hingga sembilan bulan.

Beliau menyatakan anggaran kos adalah sekitar RM3 juta sebulan, atau RM27 juta utk sembilan bulan.

Ini adalah suatu yang pelik, adakah kerajaan tidak menyiasat langsung dulu pemilikan kapal sebelum menerimanya? Atau sekurang-kurangnya menyelesai sebahagian besar siasatan pemilikan sebelum diterima?

Saya tertanya-tanya ketika Indonesia menyita kapal ini pada March 2018 adakah Kerajaan Indonesia menanggung kos selenggaraan seperti diumumkan sebelum diserahkan kepada Malaysia pada awal bulan Ogos ini iaitulah 4 bulan lalu? Itu kira-kira berjumlah RM12 juta jika menurut anggaran RM3 juta sebulan pasukan Peguam Negara.

Jika benar, adakah kos ditanggung Kerajaan Indonesia akan dibilkan pula dari Kerajaan Malaysia nanti?

Adakah kerajaan perlu teruskan kapal itu beroperasi, dihidupkan enjinnya, aircond serta lampu-lampunya terpasang dan diteruskan gaji kakitangan kapal berkenaan sepanjang tempoh rampasan?

Mengapa tidak diangkat naik saja guna syncrolift, travelift di mana-mana shipyard? Letakkan atau parking dulu di atas daratan jika kosnya tinggi jika berada di dalam air.

Jika kerajaan berhasrat mahu menjualnya nanti, tidakkah boleh dijual secara 'as it is', seperti mana keadaannya seperti mana amalan biasa kerajaan menjual aset-aset lain yang pernah dirampas sebelum ini.

Atau adakah kerana ia aset mewah, maka kerana itu perlu diberi layanan VIP juga oleh kerajaan?

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM 
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
9 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 9/8/2018