Hati-hati dengan sokongan palsu

Nasional
Typography

NABI S.A.W mengisytiharkan perang terhadap Bani Nadhir selepas perancangan jahat mereka terbongkar. Muhammad bin Maslamah diutuskan untuk menyampaikan amaran tersebut dan ianya amat ditakuti oleh mereka.

Akan tetapi muncul Abdullah bin Ubai bin Salul menghasut mereka untuk melawan Nabi. Allah merakamkan ucapan Abdullah Ubai di dalam Surah al-Hasyr ayat 11:

"Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang Munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang Kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapa pun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta."

Teramatlah pelik, apabila orang Islam begitu komited berjanji membantu musuh? Bahkan Abdullah Ubai menjanjikan bantuan daripada Bani Quraizah dan sekutu-sekutu daripada Bani Ghatafan.

Di atas janji-janji manis ini, Bani Nadhir kembali bersemangat melawan. Kata mereka "Kami tidak akan keluar dari kampung ini, buatlah apa yang mahu!".

Lantas umat Islam mengepung perkampungan Bani Nadhir beberapa hari hingga menimbulkan kegerunan dan ketakutan lalu mereka bersedia meletakkan senjata. Dalam masa mereka dikepung, nyata tiada langsung bantuan yang tiba daripada mana-mana pihak pun sebagaimana yang dijanjikan oleh Abdullah Ubai. Bani Nadhir hanya bersendiri menghadapi umat Islam. Allah merakamkan dalam ayat 16 Surah al-Hasyr:

"(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: "Berlaku kufurlah engkau!" Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!""

Kebergantungan orang beriman adalah bersama Allah, Rasul dan sesama orang beriman. Apabila dijanjikan pertolongan selain dari itu, hendaklah dengan ketelitian dan berjaga-jaga.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
09 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 9/8/2018