Tabungan Amal bantu Pondok An-Nuur

Nasional
Typography

PUSAT Pendidikan An-Nur atau Pondok An-Nuur membuka ruang kepada ibu bapa membuat pilihan untuk anak-anak mereka mengikuti pengajian Islam.

Itu adalah hasrat dan harapan pihak Pondok An-Nuur untuk menyebarluaskan ilmu Islam kepada masyarakat.

Menurut Mudir An-Nuur, Ustaz Mohd Zaki Mohd Zulkafaly, buat masa ini terdapat 100 pelajar lelaki dan 60 perempuan mengikuti pengajian aliran pondok dan tahfiz.

Katanya, Pondok An-Nuur diasaskan pada 1994 oleh Ustaz Mokhtar Senik di atas sebidang tanah seluas empat setengah ekar di Kampung Kuala Penor, Kuantan.

“Dalam kawasan itu dibina asrama lelaki dan perempuan, kelas, masjid, rumah tetamu, rumah guru, kantin, kafe dan tandas awam dengan kos keseluruhan sekitar RM5 juta,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Pondok An-Nuur berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP KT 01/96 ). Kedudukannya yang berhampiran dengan bandar Kuantan, kira-kira 25 minit perjalanan menjadikan pusat pendidikan ini mudah dikunjungi dan dihubungi.

Untuk sampai ke pondok ini, pengunjung akan melalui kawasan pantai untuk berkelah yang menarik iaitu Tanjung Sepat.

Pengambilan pelajar pertama dibuka pada tahun 1996, iaitu setahun setengah selepas ia diasaskan. Seramai 80 orang pelajar pertama telah mendaftarkan diri.

Pada peringkat awal, An-Nuur hanya memperkenalkan aliran pengajian pondok sahaja dengan menggunakan kitab-kitab thuras dan sukatan nizami Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Menurut Ustaz Mohd Zaki lagi, subjek bagi aliran pondok ialah fekah, tafsir, hadis, sirah, tauhid, nahu, sorof, akhlak, penulisan, akademik, hafazan, usul fiqh, qawaid fiqh, aulumul quran, mustalahul hadis, usul dakwah dan fatwa semasa.

Pada tahun 2013, An-Nuur menyediakan aliran tahfiz.

Pengambilan pelajar dibuka kepada pelajar-pelajar yang berusia 13 tahun sehingga 20 tahun.

Borang kemasukan akan dibuka pada bulan Oktober setiap tahun dan pendaftaran akan bermula pada bulan pertama sesi pengajian tahun berikutnya.

“Pendaftaran pelajar sebanyak RM1,300 termasuk yuran bulan pertama RM250,” jelasnya sambil menambah pondok itu telah melahirkan kira-kira 20,000 pelajar sejak ia beroperasi.

Tambah beliau, lepasan pelajar pondok boleh menyambung pengajian di pondok-pondok di Kelantan atau pasentren di Indonesia.

Mengenai kewangan, katanya ia adalah antara masalah yang turut dihadapi pihak An-Nuur kerana banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai selain jabatan agama untuk membiayai pengurusan dan pentadbiran.

Untuk itu, An-Nuur mewujudkan Tabungan Amal untuk menjadi tabungan tambahan sumber kewangan.

Jelasnya, ahli yang mendaftar diminta memberikan sumbangan tetap setiap bulan mengikut kadar kemampuan dan kesanggupan masing-masing.

Beliau berkata, wang yang dikumpul daripada tabungan ini akan digunakan untuk menampung yuran pelajar-pelajar miskin dan yatim, pembangunan An-Nuur dan perbelanjaan pentadbiran.

“Jadi kami memohon sumbangan semua pihak untuk membantu kita. Semoga apa yang kita buat ini mendapat keberkatan Allah, insya allah,” ujarnya.

Untuk berurusan, boleh menghubungi beliau di talian 013-2743889.

Bagi mereka yang ingin memberikan sumbangan kepada Pondok An-Nuur boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam bernombor 06019010021868 atas nama Bendahari Pondok An-Nur atau Maybank bernombor 556011018085 atas nama Pondok An-Nur. - HARAKAHDAILY 8/8/2018

nur1

Ustaz Zaki (dua dari kiri) menerima kunjungan daripada Maahad Dar Al-Abrar, Perak yang diketuai Ustaz Ibrahim Zakaria.

nur 2 masjid 1

Masjid Pondok An-Nuur.

nur 6 ruang masjid

Ruang masjid yang selesa.

nur3

Sebahagian pelajar tahfiz sedang menghafaz.

nur 4 rumah tetamu
Pondok An-Nuur menyediakan rumah tetamu.

nur 5 bangunan kelas dalam pembinaan
Bangunan yang masih dalam pembinaan.