Henti manipulasi jumlah hutang Persekutuan

Nasional
Typography

MENTERI Kewangan harus berasa malu apabila mengulang-ulang hutang negara berjumlah lebih RM1 trilion bagi tujuan manipulasi persepsi rakyat.

Data terbaru daripada Laporan Ketua Audit Negara 2017 jelas menunjukkan hutang Kerajaan Persekutuan pada tahun 2017 ialah RM686.8 bilion.

Hutang Kerajaan Persekutuan terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM665.5 bilion, manakala hutang luar negeri berjumlah RM21.2 bilion.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 juga selari dengan jawapan bertulis yang diberikan oleh Kementerian Kewangan kepada Ahli Parlimen Bukit Bintang pada 19 Ogos 2018.

Berdasarkan jawapan tersebut, Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM686.6 bilion atau 50.8 peratus daripada KDNK.

Hal ini menunjukkan hutang sebenar Kerajaan Persekutuan bukan melebihi RM1 trilion seperti mana yang dimanipulasi oleh Kementerian Kewangan.

Jumlah RM1.08 trilion merujuk kepada obligasi tunai Kerajaan Persekutuan sehingga tahun 2045. Menteri Kewangan harus bersikap profesional untuk tidak menimbulkan persepsi buruk tentang kewangan kerajaan sehingga menjustifikasikan penangguhan kepentingan rakyat yang lain.

Banyak kepentingan rakyat terpaksa ditangguhkan terutama projek-projek di luar bandar kerana menggunakan alasan hutang kerajaan melebihi RM1 trilion.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
25 Zulkaedah 1439 | 7 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 7/8/2018