LGBT mengancam hak kehidupan kami

Nasional
Typography

KE HADAPAN Cik Puan Marina Mahathir,

Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

Sehingga kini, walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka. Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?

Adakah Cik bersetuju jika ada darah yang didermakan oleh golongan LGBT didermakan kepada salah seorang ahli keluarga Cik? (Buat masa sekarang penganut LGBT tidak dibenarkan mendermakan darah disebabkan gaya hidup yang berisiko tinggi). Adakah itu kesamarataan yang Cik mahukan?

Jika kalian melaungkan hak, maka kami juga mahu melaungkan hak untuk hidup aman damai serta bebas dari gaya hidup songsang dan segala penyakit bawaannya.

Akan tetapi, jika kalian mula mempromosi gaya hidup sebegini di media, kalian sudah mula mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman kehidupan kami untuk mendapat akses yang murni di media-media.

Kami juga punya hak untuk memastikan pemikiran anak-anak kami dan sanak saudara kami agar terselamat daripada terjerumus ke dalam pemikiran dan perbuatan songsang ini. Na'uzubillah.

Akhirnya, jika kalian rasa itu bukan satu dosa dan itu adalah hak peribadi, maka buatlah tapi pastikan kalian bukan berada di bumi Tuhan!

NUR ILYANI MOHAMED NAWAWI
Pasir Mas - HARAKAHDAILY 7/8/2018