Idea TG Abdul Hadi dilaksana Dr Samsuri

Nasional
Typography

TERLALU banyak idea kenegaraan yang telah dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kepada rakyat Malaysia. Wajar Tuan Guru diletakkan sebagai seorang Tokoh Pemikir Kenegaraan Islam Moden.

Idea Kerajaan Teknokrat, Kerajaan Berkebajikan, Pembangunan Bandar, Peranan Kerajaan dan Rakyat dalam Ekonomi, Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta Demokrasi sebagai alat menegakkan syariat banyak dibentangkan kepada rakyat Malaysia sehingga kini.

Mengikuti ceramah dan syarahan politik Tuan Guru seolah-olah berada dalam bilik kuliah universiti. Bahkan ianya banyak membuka minda anak muda untuk melihat idea-idea yang menarik dan baharu dikemukakan oleh beliau.

Antaranya adalah, “Kerajaan tidak boleh berniaga bersaing dengan rakyat”. Idea ini agak menarik perhatian, idea kenegaraan Tuan Guru mengatakan kerajaan tidak boleh bersaing dengan rakyat. Rakyat mesti diberikan ruang untuk berniaga dan mencari pendapatan. Ini suatu perkara yang agak ‘wow’.

Rupa-rupanya, idea ini diangkat oleh Tuan Guru pada masa kini diambil dari penegasan yang dibuat oleh Ibnu Khaldun (1331-1404) dalam Al-Muqaddimah:

إن التجارة من السلطان مضرة بالرعايا ومفسدة للجباية

“Sesungguhnya kegiatan perniagaan daripada pemerintah (kerajaan) membawa mudarat kepada rakyat jelata dan merosakkan percukaian.”

Keadaan ini akan menyebabkan rakyat yang miskin dan tiada modal akan banyak bersaing dengan kerajaan yang mempunyai jentera dan kelengkapan yang serba canggih. Sudah pasti rakyat akan terkepit di celahan pertarungan tersebut.

Namun, timbul persoalan bagaimana pula kerajaan mahu membuat keuntungan jika tidak membuat syarikat dan berniaga sebagaimana rakyat berniaga. Apakah kerajaan hanya menunggu hasil bumi dan hasil cukai sahaja untuk membangunkan negeri atau negara?

Akhirnya, persoalan ini terjawab apabila melihat Ucap Negeri Terengganu yang disampaikan oleh Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam menghuraikan Prinsip ke-6 Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030). Kerajaan bertindak sebagai pemantau dan tidak bersaing dengan rakyat, kerana rakyat tidak akan mampu bersaing dengan kerajaan.

Sebagai contoh, kerajaan tidak boleh terlibat dalam industri batik kerana ianya akan bertembung dengan perniagaan yang dilakukan oleh rakyat. Sudah pasti kerajaan yang ‘luas langkahnya’ akan meranapkan industri yang dilakukan oleh rakyat.

Apa yang patut dibuat oleh kerajaan adalah menyediakan kemudahan dan pelan untuk membangunkan lagi industri tempatan. Kerajaan juga bertindak sebagai pemantau dan juga supplier latihan dan kemudahan untuk rakyat berniaga.

Setelah itu, peranan kerajaan adalah mengangkat batik, nasi dagang dan industri tempatan ini ke pasaran luar. Bukannya berniaga ditepi jalan Kuala Terengganu, tapi membawa jenama Terengganu melalui industri tempatan ke luar negara dan luar negeri.

Contoh yang diberikan oleh Dr Sam agak menarik, katanya “Nak harapkan Pok Leh dan Mak Jah jual nasi dagang di pasaran London dan Eropah, kita akan mendera mereka (rakyat), jadi, kerajaan negerilah yang berperanan.”

Nah, setelah mendengar penjelasan ini, maka, jelaslah bagaimana idea tersebut berinteraksi dalam bingkai kenegaraan atau kenegerian sebagaimana yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Rupanya secara tidak langsung menggambarkan bahawa, Dr Sam ini diangkat sebagai Menteri Besar Terengganu sepertinya untuk melaksanakan pemikiran dan idea besar yang digagaskan oleh Tuan Guru. – HARAKAHDAILY 5/8/2018