Sg Kandis: Isyarat mahu pembangkang lebih kuat

Nasional
Typography

BERIKUT adalah beberapa data penting daripada PRK N49 Sungai Kandis yang diadakan pada hari semalam:

▪ Jumlah pengundi bertambah sebanyak 417 orang dari 50,800 orang pada PRU14 kepada 51,217 orang pada PRK ini.

▪ Jumlah keluar mengundi pula merosot dari 85.6% kepada 49.4%.

▪ Jumlah undi rosak kekal pada 0.7%.

▪ Penguasaan undi PRK berbanding PRU14 bagi PH ialah 64.3% manakala BN ialah 83.2%.

▪ Perbezaan undi antara PH dengan BN semakin mengecil iaitu dari 28.7% kepada 23.1%.

Rumusan:

1. Pertambahan jumlah pengundi sepatutnya menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap amalan sistem demokrasi berparlimen.

2. Pun begitu, kadar keluar mengundi pada PRK ini yang merosot sebanyak 36.2% berbanding PRU14 lalu ini menyebabkan PH hilang 8,571 undi (35.7%) sebaliknya hanya BN hilang 1,933 undi (16.8%) menunjukkan bahawa protes terhadap Kerajaan yang diterajui PH pada hari ini adalah lebih besar.

3. Prestasi BN pula adalah lebih baik apabila berjaya mengekalkan 83.2% daripada jumlah undi yang diterima pada PRU14 lalu berbanding PH yang hanya mengekalkan 64.3%. Sudah tentu undi PAS antara yang menyumbang kepada peningkatan tersebut.

4. Perbezaan undi antara PH dengan BN yang semakin mengecil iaitu dari 28.7% kepada 23.1% sehingga menjadikan majoriti undi yang diraih PH merosot sebanyak 5.6% pula menunjukkan bahawa PH semakin hilang sokongan.

Kesimpulan:

Keputusan PRK N49 Sungai Kandis ini adalah signal terang daripada pengundi bahawa pembangkang perlu mengukuhkan kedudukan dan pengaruh dalam badan perundangan untuk menjalankan peranan semak dan imbang yang berkesan terhadap Kerajaan. PRK Balakong dan Seri Setia boleh sekali lagi menjadi ujian kerjasama strategik antara parti-parti pembangkang meskipun berbeza dasar dan polisi.

Keputusan ini juga adalah petunjuk bahawa kerjasama antara parti-parti pembangkang adalah boleh dan perlu digembleng serta merupakan pendekatan yang amat strategik untuk berhadapan dengan PH.

”Sejahtera Bersama Islam"

Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
5 Ogos 2018 | 23 Zulkaedah 1439 – HARAKAHDAILY 5/8/2018