Hamas-Fatah gagalkan 'The Deal of The Century'

Nasional
Typography

MEDIA melaporkan agenda 'Deal of The Century' ditangguhkan kerana US dan Israel bakal berhadapan dengan pilihan raya tidak lama lagi. Namun faktor keutuhan Hamas dan Fatah yang menolak rundingan tersebut sama sekali tidak dapat dinafikan. Dua parti politik terbesar Palestin yang terkenal sebagai seteru zaman berzaman kini mengambil tindakan matang bekerjasama yang memberi kesan jelas dalam menguntungkan agama dan kepentingan rakyat.

Bagi yang belum maklum, 'Deal of The Century' merupakan topik hangat di Asia Barat ketika ini. Ia adalah satu rundingan damai bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel. Rancangan Barat adalah bagi mengalih peta Palestin ke arah Barat dan memberi peluang kepada Israel untuk menduduki kawasan Timur. Dengan itu, Palestin akan dimerdekakan dari pengganas Zionis manakala Baitulmaqdis akan berada di dalam peta Israel. (rujuk ulasan saya yang lepas bertajuk 2018 Dan Masa Depan Umat Islam serta lain-lain).

Situasi ini mengajar umat Islam sejagat satu ilmu penting; kepentingan umat Islam bersatu dalam berhadapan dengan musuh bersama. Walaupun Fatah adalah sebuah parti totok Nasionalis yang berjuang membebaskan Palestin hanya atas dasar Kebangsaan Arab, juga rekod-rekod kerjasama sulit dengan Israel dan pengkhianatan mereka terhadap rakyat dan kedaulatan Palestin, namun Hamas mengambil keputusan berani dalam memeterai kerjasama sehingga banyak manfaat diperoleh selain kejayaan menyekat 'Deal of The Century' buat masa ini.

 Belajar dari kejatuhan Ahok 

Satu lagi fenomena mengejutkan yang boleh kita pelajari adalah apabila Ahok dijatuhkan daripada takhta Gabenor Jakarta. Beliau sebelum itu terkenal sebagai seorang pemimpin yang prejudis terhadap Islam. Hasil gabungan umat Islam Jakarta walaupun memiliki latarbelakang politik yang pelbagai (Indonesia memilik lebih dari 30 parti yang dipimpin oleh orang Islam), mereka berjaya mencapai kata sepakat untuk memilih seorang calon sahaja iaitu bekas Menteri Kabinet Indonesia, Anies Baswedan. Ahok bukan setakat berjaya dikalahkan, malah diheret ke muka pengadilan atas kesalahan menghina Islam sehingga dihukum penjara 2 tahun.

Apa yang berlaku dalam lapangan politik dan agama di Malaysia hari ini sebenarnya telah berlaku di Indonesia berpuluh tahun dahulu. Penguasaan gabungan parti yang didominasi (baca: dikuasai) oleh non-Muslim berlaku kerana wadah politik Islam berpecah kepada empat; PAS, Umno, PH dan golongan anti-politik. Kelemahan ini sebenarnya dirancang lama dan rapi.

Jika tidak mahu negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi ini berubah menjadi pancasila seperti Indonesia, kita sepatutnya cepat belajar dari negara jiran itu. Sudah tiba masa umat Islam bekerjasama atas matlamat mempertahankan agama, bukan semata-mata mengejar kuasa. PAS sudah tidak sepatutnya lagi teragak-agak untuk dilihat bekerjasama atas nama agama dengan mana-mana pihak termasuklah Umno.

Kerjasama tanpa dedak

Tidak dinafikan, faktor persepsi kononnya PAS bergabung dengan Umno menjadi antara sebab besar penolakan rakyat pada PAS pada PRU14. Hubungan PAS dan Umno sengaja digambarkan sebagai buruk oleh PH, supaya PAS terus bersikap menjauhi Umno dan mengelak dari mengadakan sebarang hubungan, walaupun dalam perkara yang menguntungkan agama. Padahal sekiranya dua parti terbesar Malaysia ini bergabung, habis PH.

Tetapi setelah PRU, persepsi lama tidak lagi seperti dahulu. Ancaman terhadap agama yang ditimbulkan PH walaupun belum 100 hari memerintah benar-benar mengejutkan umat Islam sehingga ada yang menyesal undi. Umno pula sudah tidak memiliki kuasa. Dedak sudah tidak di tangan mereka sebaliknya di tangan PH pula. Sepatutnya sudah tidak ada apa-apa masalah jika kerjasama antara PAS dan Umno berlaku.

Sebenarnya isu kerjasama PAS-Umno bukanlah isu utama penolakan rakyat di pantai Barat. Tetapi isu sebenar adalah isu PAS terima duit Umno. Integriti PAS hilang dengan isu ini walaupun keabsahannya boleh dipertikaikan kerana tuduhan ini tidak pernah berjaya dibuktikan di mahkamah. Kini apabila Umno sudah tidak berkuasa, tidak relevan lagi untuk mengaitkan PAS dengan dedak.

Kalau isu kerjasama itu negatif, Terengganu dan Kelantan terlebih dahulu akan menolak PAS. Kerana mereka sudah lama rasa kezaliman Umno. Musuh politik utama PAS adalah Umno sejak dulu. Tapi penolakan banyak berlaku di Pantai Barat, kerana termakan persepsi dedak. Sumber utama mereka adalah media sosial yang penuh prejudis.

Bela Islam bukan bela Umno

Cuma barang diingat, jangan lebih lajak dari laju. Kalau dulu ketika bergabung dengan PKR dan DAP membentuk PR, ramai orang bahkan pimpinan PAS memberi kesetiaan (wala`) kepada PR lebih daripada PAS. Jangan pula kerjasama dengan Umno akan menyebabkan orang menganggap Umno dan PAS sama sahaja. Dasar kita tetap berbeza. PAS Islam, Umno Nasionalisme. PAS dan Umno tidak sekali-kali sama, cuma bersama atas matlamat menjaga agama. Jika terpaksa bersama Umno, jati diri mestilah kekal sebagai PAS. Tidak perlu terikut perjuangan Umno. Tidak perlu pikul segala masalah lama Umno. Tidak perlu popularkan figura Umno di kalangan kita.

Tiada lagi isu PAS menongkat Umno kerana mereka telah pun rebah. Mungkin akan timbul fitnah PAS cuba bantu Umno bangkit, tetapi sikap sesama Muslim bukan sekadar bantu mereka bangkit, bahkan pimpin mereka untuk bersama perjuangan kita. Jangan ikut budaya Umno, pemikiran Umno, tapi bimbing mereka untuk faham perjuangan kita, sedar dosa pahala dan bersama membela agama. Biar hilang segala karat Asobiyah Jahiliyah.

Bila Tuan Guru Ayah Chik ajak untuk menyelesaikan krisis Sunni-Syiah dan mengelakkan pertembungan Wahhabi-Sufi, bukan bermakna kita katakan ajaran Syiah dan Wahhabi itu boleh diterima. Tetapi kerana matlamat yang lebih besar dalam menjaga agama.

Kalau kita boleh faham keperluan umat Islam sejagat bersatu tanpa mengambil kira Sunni, Syiah, Wahhabi dan sebagainya bagi menjatuhkan Zionis dan Barat, kenapa tidak boleh faham keperluan kerjasama umat Islam bagi menjatuhkan musuh Islam di dalam negara?

22 Zulkaedah 1439
4 Ogos 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 4/8/2018