Aurat isu berkait Hak Asasi Manusia

Nasional
Typography

ISU aurat adalah merupakan satu isu besar yang berkaitan Hak Asasi Manusia. Di samping ia adalah tuntutan wajib dalam agama Islam, ia juga bersesuaian dengan Rukun Negara yang dimulai dengan Kepercayaan kepada Tuhan.

Selain itu, dalam konteks Malaysia juga, agama Islam yang menjadi agama Persekutuan sepatutnya mengutamakan tuntutan Islam menjadi sebahagian daripada syarat berpakaian di tempat kerja.

Amat malang sebahagian masyarakat sekarang khususnya pembuat dasar dan penguasa tidak melihat isu ini secara lebih meluas. Kebiasaannya apabila disebut isu aurat, lebih ditekankan seolah-olah berlaku paksaan terhadap kaedah berpakaian.

Saya mahu tekankan di sini, berapa ramai ibu bapa yang ingin melihat anak-anak mereka menutup aurat tetapi disebabkan peraturan di tempat kerja yang tidak membenarkan maka hasrat mereka tidak tercapai. Berapa ramai pula suami yang juga mahu isteri mereka menutup aurat tetapi akibat peraturan di tempat kerja tidak membenarkan maka hasrat mereka tidak tercapai. Bukankah ini juga satu pencabulan hak asasi manusia? Hak ibu bapa dan suami yang tidak dapat dipenuhi.

Sesiapa yang yakin dengan hukum dan peraturan Allah, semuanya sesuai dengan fitrah dan kehendak manusia.

Masyarakat, majikan dan pembuat dasar sepatutnya berlaku adil khususnya pada umat Islam. Lebih-lebih lagi dalam konteks kehidupan kita di Malaysia. Jangan terlalu prejudis dengan ajaran Islam. Saya juga berharap pembuat dasar dan penguasa jangan sekali-kali memperkecilkan hukum dan peraturan Islam.

DR ALIAKBAR GULASAN
Setiausaha PAS Sabah
3 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 3/8/2018