Sedia pakaian tepati syariah bagi pramugari

Nasional
Typography

PEMERKASAAN agenda Islam dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti  telur di hujung tanduk, samar-samar dan terus mengalami perlecehan. Bagi MP Sepang yang juga Timbalan Menteri, seolah-olah isu rasuah jauh lebih penting daripada isu aurat staf penerbangan, walhal anggota Legislatif PAS telah mengambil bahagian dalam pelbagai segmen soalan dan perbahasan sidang Parlimen kali ini. Dalam Islam tiada yang boleh diketepikan dengan alasan kecil atau besar sesuatu arahan Allah, namun berhala moden ideologi manusia seperti Pragmatis Sekular tidak meletakkan Islam sebagai petunjuk dalam mentadbir urusan kenegaraan. Wajah indah Islam diburukkan lagi dengan fahaman neo-Muktazilah yang mengutamakan akal dalam mengartikulasi sesuatu isu.

Jawapan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang menasihatkan mereka yang merasakan seragam pramugari Malaysia terlalu menggoda supaya merendahkan pandangan adalah jawapan paling lucu dan tidak bertanggungjawab. Bagi rakyat, jawapan Menteri seperti ini mengulangi jawapan penuh kepandiran yang menggelikan hati dan merendahkan tahap intelektualisme mereka sebagai pemimpin negara. Adakah bodoh mesti menjadi kembar siam kepada pak Menteri? Sangat malang kepada rakyat negeri ini memiliki barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang jauh daripada kompetensi sebagai negarawan yang berjiwa besar.

Kenyataan beliau bahawa pihak syarikat bebas memilih seragam masing-masing selagi mampu menjalankan tugas dengan baik dan dalam masa yang sama kerajaan pula tidak menghalang pihak syarikat memperkenalkan seragam yang menepati agama menunjukkan bahawa kerajaan tidak mahu bertanggungjawab membantu menyelesaikan permasalahan pakaian seragam khususnya bagi wanita Muslim. Dengan maksud lain, kerajaan tidak serius memikirkan soal etika pemakaian bagi nasib wanita Muslim yang terpaksa memakai pakaian ketat dan membuka aurat mereka ketika bekerja. Mungkin bagi kerajaan ia isu yang remeh, tetapi bagi umat Islam ia adalah perkara besar kerana melibatkan dosa dan pahala.

Secara realitinya, umum mengetahui pakaian seragam pramugari sangat ketat, tidak patuh Syariah sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka, dan sesetengahnya memakai pakaian yang singkat sehingga menampakkan dada dan peha mereka. Bagi golongan wanita Muslim, mereka berhadapan dengan dosa setiap hari dengan pemakaian seperti itu dan bukan semua pramugari ini ‘redha’ dengan pakaian mereka. Namun oleh kerana ia adalah etika berpakaian yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan, mereka ‘terpaksa’ tunduk dengan kehendak syarikat penerbangan kerana memikirkan soal periuk nasi dan karier mereka. Bagi yang memikirkan dosa dan pahala, tidak ada pilihan lain melainkan mencari pekerjaan lain yang menepati kriteria pakaian Syariah, tetapi dalam industri ia tidak memberi suatu solusi ‘menang-menang’ kepada semua pihak. 

Nampaknya YB Anthony Loke gagal memahami realiti masalah dalam industri penerbangan. Sepatutnya sebagai Menteri, beliau ada kuasa untuk mengarahkan syarikat penerbangan menetapkan seragam kepada semua pramugari khususnya untuk wanita Muslim, dan pakaian itu mestilah yang menutup aurat. Setidak-tidaknya beliau memberi teguran, nasihat, atau panduan kepada semua syarikat penerbangan agar menjaga kebajikan pekerjanya, terutama dalam soal berpakaian. Beliau tidak boleh hanya menyerahkan begitu sahaja kepada syarikat tanpa panduan atau nasihat yang jelas. Menggesa agar penumpang atau orang lain menundukkan pandangan bukanlah sebuah penyelesaian melainkan jawapan melepas diri semata-mata. Penumpang mungkin tidak berdosa jika menundukkan pandangan, tetapi bagaimana dengan pramugari yang berpakaian seperti itu setiap hari.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Malaysia perlu kelihatan berbeza daripada negara-negara yang lain. Pelancong yang terdiri daripada umat Islam seluruh pelusuk dunia pasti berbangga apabila menggunakan khidmat syarikat penerbangan Malaysia kerana semua kru dan kakitangannya mementingkan soal syiar dan syariat dengan menutup aurat. Ia adalah persepsi awal bahawa Malaysia amat mementingkan soal menjaga batasan Syariah dalam segenap perkara. Ia juga menjadi penanda aras untuk negara dipandang tinggi, dihormati dan dimuliakan oleh negara-negara lain. Banyak negara umat Islam yang memperkenalkan pakaian patuh Syariah kepada staf penerbangan dan ianya tidak menjejaskan keuntungan dan pengoperasian syarikat penerbangan. Hendak seribu daya, malas seribu dalih!

Umat Islam telah meletakkan harapan tinggi agar perubahan ini berlaku dalam pemakaian staf penerbangan semenjak rejim terdahulu, namun harapan tinggal harapan. Rakyat melihat dengan mual bagaimana anggota Legislatif daripada PH hanya menjadi "pasu bunga" dalam Dewan untuk mempertahankan apa sahaja agenda Islam. Rakyat merindui klise, "tunggu sampai ke Putrajaya, kita akan laksanakan agenda Islam" oleh politikus acah-acah Islamis daripada blok PH dengan janji-janji muluk bertatah emas berlian. Belum sampai 100 hari pentadbiran PH, kehancingan dihidu daripada jarak dekat dan jauh. Rakyat telah membuat pilihan yang salah!

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 2/8/2018