MP Menteri bukan Islam mesti hormati hak Islam

Nasional
Typography

PERBAHASAN mengenai etika pemakaian bagi pekerja wanita menjadi hangat dalam Sidang Dewan Rakyat semalam, 1 Ogos 2018.

Dalam sesi perbahasan tersebut, MP Batu Kawan telah bangun dan menyangkal hujah MP Rantau Panjang, YB Hajjah Siti Zailah Mohd Yusoff yang merupakan satu-satunya wakil daripada Muslimat PAS, dengan membawa maksud 1 ayat al-Quran berkaitan menundukkan pandangan.

Pertamanya, ingin saya betulkan ayat tersebut daripada Surah an-Nur bukan daripada Surah an-Nisa’ seperti yang disebut iaitu Surah an-Nur ayat 30 yang bermaksud;

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan”

Benar dalam ayat ini jelas membawa perintah agar lelaki-lelaki menundukkan pandangan mereka daripada memandang yang haram adalah tegahan khusus ditujukan kepada kaum lelaki.

Manakala tegahan secara khusus kepada wanita berkenaan dengan pemakaian telah dinyatakan oleh Allah S.W.T Surah an-Nur ayat 31 sekali gus menepati ketegasan PAS memperjuangkan penjagaan pemakaian wanita yang patuh syariah.

Kami Muslimat PAS selari dan menyokong hujah daripada YB Rantau Panjang dan YB Tumpat agar kerajaan mengambil satu inisiatif untuk membenarkan wanita Muslim menutup aurat mereka dengan sempurna sesuai dengan tuntutan syarak.

Hal ini mesti diambil perhatian oleh Menteri Sumber Manusia untuk memberikan peluang dan ruang kepada wanita Muslim terutama yang bekerja sebagai pembantu penerbangan mahupun dalam mana-mana agensi untuk kekal memelihara aurat mereka di tempat kerja.

Di kesempatan ini kami juga menyeru kepada Ahli Parlimen dan Menteri yang bukan beragama Islam agar menghormati agama Islam sebagai agama persekutuan negara Malaysia dan menghormati penganutnya untuk mengamalkan agama mereka dengan baik.

USTAZAH HAJJAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
2 Ogos 2018 bersamaan 20 Zulkaedah 1439 - HARAKAHDAILY 2/8/2018