PAS gesa pertahan hak wanita Muslim

Nasional
Typography

KETIKA sesi pergulungan Kementerian Tenaga Manusia malam tadi, saya membangkitkan berkenaan keperluan kepada Kerajaan untuk memformulasi polisi bagi menjamin hak wanita Muslim menutup aurat dalam setiap bidang pekerjaan dan larangan diskriminasi terhadap mereka.

Namun, sanggahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, YB. Maria Chin Abdullah seolah-olah menganggap desakan saya mengenai pemakaian menutup aurat tersebut sebagai "menyalahkan golongan wanita" dalam isu gangguan seksual adalah satu pandangan yang tersasar.

Kewajiban menutup aurat bagi seorang wanita Muslim adalah suatu kemuliaan yang diberikan oleh Islam dan bukannya menyalahkan golongan wanita sebagai punca gangguan seksual. Pandangan YB. Petaling Jaya kelihatannya terlalu pesimis terhadap hukum agama.

Malah, kenyataan Ahli Parlimen Batu Kawan, YB. Kasthuriraani kemudiannya yang menyebutkan tentang ayat menundukkan pandangan di dalam Al-Quran serta menjelaskan bahawa wanita yang menutup aurat juga menjadi mangsa gangguan seksual jelas tidak memahami isu ini secara holistik.

Untuk pengetahuan YB., tafsiran Al-Quran mempunyai disiplin ilmu tertentu dan ia tidak boleh ditafsirkan dengan bermudah-mudah. Tuntutan menundukkan pandangan adalah untuk lelaki, dalam masa yang sama gesaan menutup aurat adalah kepada perempuan. Islam menegah mendekati perbuatan yang boleh mendorong kepada perbuatan zina dan jalan-jalan mendekatinya. Mengapa YB. Batu Kawan tidak pula memetik ayat Al-Quran yang menyentuh kewajipan menutup aurat di samping kewajipan menundukkan pandangan?

Kesemua ini adalah suatu bentuk perlindungan (safeguarding) holistik yang diketengahkan oleh Islam. Membaca satu juzuk isu tetapi meninggalkan juzuk-juzuk perbahasan isu yang lain menyebabkan seseorang tidak dapat menanggapi perkara yang sebenar dan akhirnya menimbulkan salah faham terhadap Islam.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa seharusnya hak wanita Muslim untuk menutup aurat perlu dipelihara secara dasar oleh Kerajaan bertepatan dengan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Isu ini bukan sekadar melibatkan isu gangguan seksual bahkan satu bentuk diskriminasi terhadap wanita Muslim itu sendiri.

Saya berharap agar Kerajaan yang baharu melakukan perubahan dan tidak mengikuti polisi-polisi lama yang sering kali meminggirkan hak bagi wanita Muslim di negara ini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengajak semua Ahli Parlimen Wanita Muslim yang lain supaya sama-sama menyatakan pendirian tentang isu ini di samping membela hak-hak asasi wanita Muslim di negara ini. Jika kita boleh mengaku kita bersikap terbuka kepada kebebasan mendedahkan aurat, semestinya kita perlu bersikap terbuka juga dengan hak menutup aurat yang diminta oleh majoriti wanita muslim di negara ini. Marilah kita bersikap adil dengan semua rakyat.

YB SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Ahli Parlimen Rantau Panjang
2 Ogos 2018 | 20 Zulkaedah 1439 – HARAKAHDAILY 2/8/2018