Kroni kleptokrasi Malaysia Baharu

Nasional
Typography

PELANTIKAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad yang baharu melengkapkan kecurigaan awam mengenai sikap kronisme kleptokrasi. Ia menjadi bukti berlakunya sikap tersebut di dalam Kerajaan Persekutuan yang diterajui PH.

Bahkan melanggar Manifesto PH pada Janji 22 "Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah GLC dari golongan profesional dan bukan kaitan politik." Hal ini juga mengesahkan berlakunya kitaran bisnes melibatkan keluarga beliau, menjadikannya satu konflik kepentingan yang ketara melampau.

Ini sebagaimana penganugerahan projek 'Rakan Unifi' oleh Telekom Malaysia (TM) bernilai RM11.16 juta kepada syarikat subsidiari milik Tan Sri Mokhzani Mahathir iaitu Opcom Holdings Berhad pada 14 Mei 2018. Apakah ia melalui tender terbuka atau rundingan terus?

Rekod Bursa Malaysia turut melaporkan pemegang saham terbesar Opcom ialah Dato' Seri DiRaja Mukhriz Mahathir. Beliau yang kini Menteri Besar Kedah memegang 23.28 peratus, manakala isterinya, Tok Puan Norzieta Zakaria memiliki 14.57 peratus menerusi Ocean Capital Sdn Bhd.

Opcom yang berada di pasaran ACE juga telah mendapat laba sangat banyak sejak PRU14 dengan kenaikan saham sehingga 49.59 peratus. Ketika sama, Kerajaan Malaysia mempunyai pegangan saham signifikan dalam TM menerusi beberapa GLC dan tabungan amanah berkaitan.

Ia termasuk Khazanah Nasional, Amanah Raya Trustee Berhad, Kumpulan Wang Persaraan, Valuecap Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Haji. Khazanah Nasional memiliki saham terbesar kalangan 20 pemegang saham TM yang lain iaitu sebanyak 26.21 peratus.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 2/8/2018