Budaya mengampu reputkan Umno

Nasional
Typography

UMNO yang merupakan parti Nasionalis Melayu telah ditampar dengan kekalahan teruk dalam PRU14 baru-baru ini. Kejutan itu telah dijangka awal oleh penyelidik Barat seperti Bridget Welsh. Sungguh pun begitu, kita perlu meneliti faktor-faktor kelemahan interaksi organisasi yang mendorong parti Nasionalis tersebut ditolak oleh rakyat.

Jika kita melihat corak berfikir penyokong-penyokong Umno, mereka seakan-akan telah dilatih untuk membela pemimpin-pemimpin mereka walau apa keadaan sekalipun. Hingga mereka kerap dilihat menegakkan benang yang basah, lalu menjadi bahan tawa rakyat.

Tabiat tersebut sudah pasti menjadi kelebihan kepada kemaraan parti-parti pembangkang yang ingin menghantar mesej kepada rakyat, bahawa Umno sudah tidak boleh ditegur lagi dan kelihatan syok sendiri.

Bagi penyokong-penyokong Umno, pemimpin-pemimpin mereka adalah maruah parti yang perlu dipertahankan bermati-matian, sekalipun korup. Dari logik tersebut mereka lebih terprogram untuk membela pemimpin-pemimpin mereka, bukan membela dasar parti. Sesiapa yang mengkritik akan dianggap sebagai tidak setia dengan Umno dan perlu diselesaikan.

Lama kelamaan, Umno dan ahlinya terpaksa menanggung beban masalah yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin korup mereka. Sementara pemimpin-pemimpin Umno bersenang lenang meneruskan kesilapan demi kesilapan. Mereka tahu, mereka mempunyai penyokong-penyokong tegar yang sanggup menegakkan benang basah.

Secara logiknya, jikalau penyokong-penyokong Umno menurunkan pemimpin-pemimpin mereka yang degil lagi korup, sudah pasti nasib parti Melayu itu tidak sesadis pasca PRU14. Sekurang-kurangnya tindakan tersebut boleh memulihkan kepercayaan rakyat kepada Umno.

Kombinasi antara pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan ahli yang mengampu secara membabi buta, akhirnya Umno ditolak secara pukal oleh rakyat. Jika kita perhatikan, rakyat menolak mereka kerana kealpaan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno. Bukan kerana faktor dasar jahanam yang diangkat oleh Umno.

Demikian merupakan penyakit yang menimpa parti yang terlalu lama menguasai hegemoni kuasa politik. Penyakit ini boleh menimpa ke atas mana-mana parti politik, andainya kita tidak beringat.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
31 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 1/8/2018