Masukkan perjuangan ulamak, bukan komunis

Nasional
Typography

"SEJARAH ditulis oleh pemenang" ujar sang filosof, tetapi saya beranggapan tugas sarjana Muslim ialah meluruskan sejarah, kerana sejarah itu tidak pernah berbohong di langit yang paling sakral. Siapa pun tak mampu memadam sejarah ulamak dalam perjuangan membebaskan tanah leluhur ini.

Perjuangan kemerdekaan di setiap inci bumi umat islam adalah dipelopori oleh alim ulamak walaupun sejarah ini cuba dipadamkan oleh kelompok Sekular Pragmatis yang memerintah umat islam. Dalam negara tercinta ini juga, sejarah perjuangan ulamak dalam menentang penjajahan tidak didokumentasikan dengan baik sehingga pernah dituduh bahawa ulamak tidak memperjuangkan kemerdekaan.

Di tanah air kita yang tercinta ini, denai sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulamak membentengi aqidah umat Islam semenjak kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13. Ulamak kita yang berkubu di pusat-pusat pengajian Islam telah memancarkan kekuatan kepada umat Islam bagi berdepan dengan "ghazwatul fikri" penjajah Barat. Dalam cerminan sejarah ini, tersuluh kehebatan Tuan Guru Hj Hassan bin Munas (Tok Janggut) yang bangkit bermandi darah di Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1915. Di Terengganu pula, ulamak tersohor Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong telah memimpin kebangkitan ummah, menentang kemaraan penjajah British yang cuba memijak kemuliaan Syariat Islam.

Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong atau nama lengkapnya Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid, beliaulah yang banyak memberi corak agama dalam pemberontakkan agama Terengganu ini. Sejak dari kebangkitan 1922, lalu kebangkitan 1925 dan seterusnya pemberontakan 1928, penglibatan jelas sekali apabila tokoh-tokoh tempatan dari Kuala Berang datang menemuinya untuk mendapatkan nasihat mengenai bagaimana sepatutnya diambil tindakan. Malah namanya turut tercatat dalam surat-surat kerahan agar berkumpul di Kuala Berang dan Telemong sebelum tercetusnya pemberontakan ini. Sebab itulah sebagai hukumannya, beliau dibuang negeri ke Makkah, dengan harapan agar penentangan terhadap British tidak lagi wujud di Terengganu.

Abdul Rahman Limbong telah berguru kepada banyak tokoh agama tetapi paling istimewa sekali ialah daripada Tok Ku Paloh, di mana beliau turut menjadi khadam di rumah tuan gurunya itu. Kemudiannya beliau mengajar di suraunya di Jonggok Tong, Beladau, dan dengan kematian Tok Ku Paloh, beliau meengajar di surau Sayyid Saggaf. Di samping itu beliau juga mengajar di tempa-tempat lain, iaitu di mana sahaja beliau singgah dalam pengembaraannya. Dalam pengajaran ini, di antara teks-teks yang digunakan ialah kitab-kitab tasawwuf karangan Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, seperti Siyar al-Salikin dan Hikayat al-Salikin serta karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari iaitu al-Durr al-Nafis.

Pada dekad 1920'an pula berlaku 'revolusi mental' yang digerakkan oleh ulamak-ulamak muda yang mendapat pendidikan tinggi di Universiti al-Azhar di Mesir. Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abas Mohd Taha, adalah sebaris nama-nama yang berjasa besar meniupkan api perjuangan untuk pengislahan diri Bangsa Melayu yang serba terperuk akibat penjajahan dan kesalahfahaman terhadap Islam yang syumul.

Mereka mendapat tentangan sengit daripada penjajah British yang cuba menunggangi Istana (melalui pihak berkuasa agama negeri-negeri) untuk menyekat arus kesedaran yang digerakkan oleh ulamak-ulamak muda yang progresif ini. Perjuangan menuntut kemerdekaan juga bertambah rancak dengan kepulangan Dr Burhanurddin al-Helmi dari pengajiannya di India. Beliau merupakan tokoh tersohor yang mendapat pengalaman antarabangsa dalam perjuangan menentang imperialis Barat.

Sejarah juga tidak dapat memadamkan jasa gerakan Hizbul Muslimin dalam perjuangan kemerdekaan. Ditubuhkan pada Mac 1948 di Gunung Semanggol, Perak dan dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Gerakan ini dengan jelas menyatakan matlamatnya untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan asing dan menegakkan Darul Islam. Hizbul Muslimin telah diberi perhatian ketat oleh pihak risikan British kerana potensi mereka mampu menggugah kesedaran rakyat untuk memperjuangkan kemerdekaan :

"The development of this movement should be very closely watched, for its preachs nationalism as the religious duty of all the believers, and Islam has always been a militant creed. There can be no doubt that its propanganda is made to appeal to the young Malay intellectuals and progressives, since it strives to give scriptual authority to their efforts to modernize their society and economy and to their undoubtedly aspirations towards national independent. In the present relatively lethargic state of Umno, it may well draw away of the younger and more progressive minds. Its promoters have had bad political record, and it may well be that in the current crisis any extension of its activities will force goverment to consider the question of outlawing the party. Wheather Hizbul Muslimin moves to the right or to the left in step with its true paent, the Masjoemi (MASYUMI-penulis), it remains a menace to the British authority."

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 oleh para alim ulamak dan guru-guru agama juga dengan tegas memperjuangkan kemerdekaan namun cuba dipadamkan sejarah citra dan nuansa ini dalam catatan sejarah. Sebahagian daripada pimpinannya telah mendekam dalam penjara British seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Khatijah Sidek (pernah menjadi calon PAS di Dungun) dan lain-lainnya. Perjuangan kemerdekaan oleh PAS dilihat sebagai tanggungjawab aqidah seperti yang diungkapkan oleh Prof Dr Zulkifli Mohamad :

"Salah besar hukumnya bagi orang Islam duduk di bawah penjajahan asing oleh orang yang tidak seagama dengannya. Sebab itu umat Islam adalah diwajibkan oleh Tuhan-nya memperjuangkan kemerdekaan bagi melepaskan dirinya dari ikatan penjajahan oleh orang-orang yang tidak seyakinan dengannya. Dan bagi PAS sebagai parti politik Islam bukan sahaja merupakan kewajipan politik semata-mata tetapi lebih dari itu merupakan perintah agama, perintah Tuhan yang mesti dijunjung dan dilaksanakan."

PAS memainkan peranan yang besar menyedarkan masyarakat untuk menuntut kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan tanah leluhur ini berpandukan Syariat Islam. Ramai tokoh-tokoh besarnya mendekam di penjara kolonial seperti Dr Burhanuddin al-Helmi, juga alumni Hizbul Muslimin demi melihat Deenul Islam tertegak di atas Tanah Melayu ini.

Usaha untuk menulis kembali sejarah tanah air dengan memasukkan jasa kelompok Komunis adalah pengkhianatan pada perjuangan umat Islam mengusir penjajah. Perjuangan mereka bukan bertujuan memerdekakan Tanah Melayu tetapi untuk mewujudkan wilayah ke-19 Republik Komunis China. Setelah gagal dalam Rundingan Baling pada tahun 1955, PKM terus melancarkan pemberontakan di Malaya, Malaya dimerdekakan British pada tahun 1957, namun PKM terus melancarkan serangan bersenjata sehingga mengorbankan ribuan nyawa anak watan. Bukan kepalang jenayah Komunis pada negara ini, harta benda yang dimusnahkan, anggota keselamatan yang cedera dan terkorban, bahkan menjarakkan hubungan antara kaum Melayu dan Cina dalam tempoh yang panjang. Perjuangan bersenjata PKM hanya tamat pada pada tahun 1989 setelah ideologi Komunisme mengalami kegagalan di seluruh belahan dunia.

Buat anak-anak muda kail sejengkal, anda tidak mengenali sejarah Komunis dan cabang ideologi mereka. Di rantau ini juga mereka menumpahkan kezaliman sehingga membunuh ratusan ribu nyawa di Indonesia, Cambodia, Vietnam dan lain-lain wilayah. Keinginan menulis sejarah baru ini bagi saya adalah keterujaan merengkuh kuasa Malaysia baru yang seakan pernah melanda Indonesia pasca Reformasi Mei 1998, awas semua rakyat bermaruah akan reinkarnasi Komunisme di tanah air tercinta ini!

(Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) - HARAKAHDAILY 31/7/2018