Tuntut kerajaan perjelas isu Batu Puteh

Nasional
Typography

SEMAKAN penghakiman terhadap kes Batu Puteh telah mula digerakkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali pada Februari 2017 selepas menerima cadangan daripada Sultan Johor pada 2014.

Semakan tersebut adalah sah dalam tempoh 10 tahun selepas keputusan penghakiman pada 2008 berdasarkan Artikel 61 Statut Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

amzadWalau bagaimanapun, Kerajaan baharu pasca PRU14 membuat keputusan menggugurkan semakan semula kes tersebut dengan alasan Tan Sri Mohamaed Apandi Ali yang merupakan ejen mewakili Malaysia telah diarahkan bercuti dan pada masa sama tindakan segera perlu dibuat bagi menentukan hala tuju kes tersebut.

Keputusan itu juga dikatakan mengambilkira pandangan dan nasihat yang diberikan oleh peguam-peguam antarabangsa dan tempatan termasuk melibatkan kepentingan lain negara termasuk kos prosiding.

Penjelasan yang diberikan oleh Kerajaan tersebut adalah tidak konkrit kerana wujud banyak soalan lain yang masih perlu diberikan penjelasan oleh Kerajaan. Antaranya ialah:

i) apakah pendirian rasmi Kerajaan terhadap penemuan fakta baharu pada 4 Ogos 2016 oleh Dato’ Abu Bakar As-Sidek bin Dato’ Mohamed Sidek dan Dato’ Firoz Hussein bin Ahmad Jamaludin.

ii) mengapa tindakan menarik balik semakan tersebut dilakukan secara tergesa-gesa tanpa melalui konsultasi bersama bekas Peguam Negara. Malah, kita juga sedia maklum bahawa pendirian bekas Tan Sri Apandi Ali untuk mengemukakan semakan semula adalah berdasarkan konsultasi bersama pakar undang-undang antarabangsa iaitu Sir Daniel Bethlehem dan Prof. Brian Plant.

iii) apakah kandungan pandangan bertulis kolektif yang telah diberikan oleh peguam-peguam antarabangsa yang telah dilantik sehingga menyebabkan Kerajaan mengambil keputusan tersebut.

iv) apakah rundingan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia – Singapura (MSJTC) pada tahun 2009 yang ditugaskan untuk melaksanakan penghakiman ICJ tersebut?

v) apakah Kerajaan akan merangka suatu persempadanan maritim yang jelas terhadap pertindihan wilayah perairan Batu Tengah dan Tubir Selatan yang menjadi milik Malaysia dengan Batu Puteh yang dimiliki pihak Singapura.

Kehilangan Pulau Batu Putih yang menjadi lubuk emas untuk para nelayan Malaysia menangkap ikan suatu ketika dahulu adalah suatu hal yang amat dikesali. Jawapan-jawapan kepada persoalan ini adalah penting kerana kita mahu memastikan peristiwa kehilangan Pulau Batu Puteh akibat kecuaian Kerajaan tidak berulang lagi.

Walaupun kita menghormati keputusan ICJ yang mengikat, Kerajaan tidak boleh memandang remeh terhadap wilayah-wilayah milik Malaysia kerana pihak luar sentiasa bersedia untuk mengambil kesempatan atas kealpaan ini.

Oleh yang demikian, demi terus menjaga kedaulatan negara pada masa hadapan, Kerajaan dituntut menjelaskan kepada rakyat maklumat tepat berhubung penarikan semakan semula kes Pulau Batu Putih ini.

AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
31 Julai 2018 | 18 Zulkaedah 1439 – HARAKAHDAILY 31/7/2018