PAS terima baik tubuh JK Tertinggi Hal Ehwal Islam

Nasional
Typography

PAS menerima baik serta mengalu-alukan keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249 menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan.

PAS yakin penubuhan Jawatankuasa ini menzahirkan hasrat dan niat murni Baginda Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama Islam ke arah mempertingkatkan kedudukan Institusi-institusi yang berkaitan dengan Agama Islam di Malaysia, termasuklah Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah yang amat perlu diperkasakan dalam semua aspek.

PAS turut percaya Jawatankuasa ini akan mengambil segala inisiatif termasuk mengadakan konsultasi dan ‘engagement’ dengan semua pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk PAS, bagi merumuskan suatu formula terbaik sekali gus mengembalikan kedudukan Islam di tempatnya yang sewajarnya selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Negara.

PAS seterusnya berharap agar Jawatankuasa ini akan benar-benar dapat berperanan dengan sebaik-baiknya.

“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

DATO’ USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Bertarikh: 17 Zulkaedah 1439 / 30 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 30/7/2018