Langkah tepat RRM jaga kepentingan Islam

Nasional
Typography

SAYA menjunjung kasih menyokong langkah Majlis Raja-raja Melayu (MRR) yang telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 30 Julai 2018. Langkah ini merupakan satu langkah yang tepat dalam situasi isu-isu yang melibatkan kepentingan agama pada hari ini telah menjadi pertikaian oleh pihak-pihak tertentu.

Melihat kepada keanggotaan yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam majlis ini, saya penuh yakin bahawa Majlis Raja-raja cukup serius dalam memastikan jawatankuasa ini berfungsi sepenuhnya dalam mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa, serta keberkesanan agensi-agensi agama yang sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman Syariah di peringkat Persekutuan.

Saya juga menaruh harapan agar usaha-usaha untuk memperkasa dan menambah baik institusi Mahkamah Syariah seperti yang diperjuangkan oleh PAS selama ini dapat diberikan nilai tambah dengan adanya jawatankuasa ini.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas

Bertarikh : 30 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 30/7/2018