LGBT : Antara keinginan dan batasan

Nasional
Typography

PERKEMBANGAN golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender) di Malaysia kian meruncing dan membimbangkan semua pihak yang mempunyai kesedaran termasuk pihak kami Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM).

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah mengikuti pelbagai maklum balas daripada netizen yang mengambil berat perihal ini melalui media sosial, bermula dengan menyatakan kerisauan, menyebarkan kesedaran dan mencadangkan kempen boikot ke atas produk-produk mereka yang terlibat dengan LGBT.

Pertembungan telah berlaku antara kedua-dua pihak iaitu pihak yang tergolong dalam golongan LGBT termasuk mereka yang menyokong serta pihak yang bermati-matian menentang agenda ini daripada berleluasa.

Justeru, Muslimat PAS dengan tegas menggesa pihak kerajaan agar mengambil langkah yang proaktif bagi menyelesaikan atau sekurang-kurangnya menyekat ianya daripada berleluasa.

Kepada golongan yang telah terjebak dengan gaya hidup sebegini, kalian merupakan insan istimewa yang dipilih oleh Allah S.W.T untuk menghadapi ujian yang berat. Sudah semestinya berlaku konflik dalam diri antara keinginan dan batasan syariat yang menghalang. Kami Muslimat PAS memohon agar kalian mengambil masa untuk berfikir dan merenung kembali hakikat penciptaan manusia yang sememangnya adalah sebaik-baik ciptaan. Marilah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kerana sesungguhnya Allah S.W.T Maha Luas pengampunan-Nya.

Kepada ahli keluarga, sahabat-handai dan orang yang hampir dengan golongan ini, teguhkan kesabaran anda untuk sentiasa mengajak dan menyeru mereka agar kembali ke jalan yang sebenar. Bersabar dalam melaksanakan dakwah, biarpun kemungkinan besar akan dibenci dan dicaci oleh mereka. Dapatkan khidmat bantuan daripada mereka yang selayaknya dalam menghadapi isu ini.

Semua pihak termasuklah Jabatan-jabatan agama, pakar undang-undang, Kementerian Kesihatan dan lain-lain pihak yang berkaitan harus berperanan di bahagian masing-masing dan serius ke arah menyelesaikan masalah ini daripada terus merebak.

Akhir kata segalanya bermula daripada diri sendiri untuk menentukan baik buruk hidup kita. Mudah-mudahan Allah S.W.T sentiasa menjaga dan memelihara kita daripada melakukan perbuatan yang melanggar syariat.

ROSNI ADAM
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
30 Julai 2018 bersamaan 17 Zulkaedah 1439 - HARAKAHDAILY 30/7/2018