SST: Bakal cetuskan kenaikan harga

Nasional
Typography

SETIAP kali cukai kepenggunaan seperti cukai GST atau SST diperkenalkan, ia tidak akan dapat mengelak dari berlaku gelombang kesan rantaian kenaikan harga barang sebagai respon dari setiap sektor perkhidmatan dan perbekalan yang dilanda keresahan risiko kos tambahan yang ditanggung masing-maing di setiap tahap.

Selain dari itu adalah menjadi lumrah peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga lebih dari sepatutnya atas apa jua alasan termasuk perubahan dasar cukai.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, KPDNKK dilihat mempunyai banyak kelemahan dalam menguatkuasakan kawalan harga barangan dan perkhidmatan pengguna seperti mana ketika GST mula diperkenalkan.

Saya pernah ingat ada di kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengakui bahawa sistem GST sebenarnya bagus, cekap dan menjadi pilihan di kebanyakan negara maju, namun dalam keadaan rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi, ianya tidak sesuai dilaksanakan ketika itu.

Kritikan terhadap GST termasuk juga kadar 6 peratus yang agak tinggi berbanding kadar GST semasa mula diperkenalkan di negara lain.

Jika kita menerima dan mengakui sistem GST ini lebih telus dan cekap dalam mengutip cukai, seperti jawapan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di dalam jawapan di Parlimen minggu pertama sidang Parlimen, cuma oleh kerana kerajaan merasakan sistem SST lebih menguntungkan rakyat disebabkan ia kurang cekap menyebabkan lebih ramai peniaga terlepas dari bayar cukai, maka saya merasa ini perlu dipersoal, Adakah kerajaan merasakan, GST ini perlu dimansuhkan sementara sahaja untuk beberapa tahun ini sementara kos sara hidup akan dapat diturunkan, supaya keadaan akan lebih sesuai untuk melaksanakan GST, atau memang GST ini tidak akan dilaksanakan selamanya iaitu tidak akan kembali diperkenalkan di masa akan datang setelah SST kembali diperkenalkan dan dilaksanakan?

Kerajaan dijangka memperkenalkan kembali SST pada bulan September ini dan memansuhkan GST.

Seperti saya katakan, setiap kali diperkenalkan sistem percukaian yang baru, maka pasaran akan memberikan reaksi kenaikan harga barang. Memang pasaran sentiasa begitu sifatnya.

Jika betullah ada niat di pihak kerajaan pada masa hadapan akan kembali memperkenalkan dan melaksanakan semula GST, rasanya tidak perlu diperkenalkan sistem SST yang diperbaharui.

Lebih baik diteruskan mengenakan GST cuma pada kadar yang lebih rendah dari 6 peratus yang dikenakan sebelum ini dan tambahkan senarai barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan GST khususnya yang banyak digunakan kumpulan berpendapatan rendah.

Ini lebih meminimakan impak kenaikan harga barang berbanding pengenalan cukai kepenggunaan baharu atau diperbaharui.

PAS memang tidak bersetuju dengan sebarang jenis cukai kepenggunaan yang mencukai rakyat atas apa yang mereka beli dan dapatkan perkhidmatan seperti GST dan SST.

Keperluan asasi rakyat yang digunakan setiap hari oleh orang kebanyakan hendaknya janganlah dicukai hingga membebankan kos sara hidup harian rakyat.

Sudah tiba masa melihat cukai jenis lain yang tidak menyentuh soal kepenggunaan dan lebih menyasarkan golongan T20 atau M40 sahaja bukannya B40.

PAS mencadangkan agar alternatif cukai yang lebih melibatkan golongan berkemampuan dilihat misalnya Cukai Simpanan Tetap, Cukai Saham, Cukai Warisan dan seumpamanya.

Individu dan syarikat yang banyak menyimpan wang, memiliki keupayaan berjual beli saham dan mereka yang mewarisi harta pusaka dalam jumlah yang besar bukanlah golongan miskin susah. Mereka adalah golongan berada dan berkemampuan.

Sudah pasti dalam memperkenalkan cukai sebegini PAS juga tidak menjangkakan pelaksanaan secara mendadak dan gopoh. Ia mungkin mengambil masa dan memerlukan kajian teliti, dirundingkan serta diseminarkan di kalangan tenaga pakar. Pelaksanaannya memerlukan perincian dan program pendidikan dan penerangan dalam tempoh masa yang munasabah. Mungkin memakan tempoh 10 tahun seperti mana diambil sebelum memperkenalkan GST dahulu.

Jika kerajaan meniadakan kedua-dua cukai, GST dan SST serentak, hasil kerajaan akan berkurangan bernilai RM40-50 billion setahun yang bukan kecil implikasinya kepada belanjawan negara. Jumlah ini agak.

Kita boleh katakan jika kita boleh kawal rasuah, pembaziran maka kita tidak perlukan RM50 billion itu.

Masalahnya ialah untuk membersihkan negara dari gejala rasuah, budaya pembaziran dan pemborosan itu tidak akan berlaku dalam satu hari. Ianya akan memakan masa yang panjang dan memerlukan usaha beterusan.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu. - HARAKAHDAILY 29/7/2018