Amalan Islam selamat bekas Mak Nyah

Nasional
Typography

“BAGI saya penghijrahan bermula dari dalaman, bukan daripada luaran, sebab luaran ini ia tidak akan jadikan pengekalan.

"Jadi kebanyakan kawan-kawan saya dia beranggapan bila kita nak berhijrah, kita kena berhijrah dari luaran, maksudnya potong rambut, buang baju-baju perempuan, tetapi bagi saya itu sebenarnya salah.

"Sebenarnya penghijrahan yang bagus, yang hebat yang betul-betul mantap, bila kita mengenali diri kita dan kita mengenali Allah, kita mengenali Islam, dan dikala itulah kekuatan akidah Allah akan campakkan," demikian antara luahan hati Mohd Khariri Mohamad Ramli.

Beliau adalah bekas mak nyah yang telah terjebak selama lebih kurang 15 tahun secara serius, bermula semenjak beliau berumur 18 tahun dan berjaya bebas kira-kira lapan tahun lalu.

Beliau kemudiannya secara beransur-ansur, mula kembali mengerjakan perkara wajib dan solat-solat sunat seperti tahajud, taubat dan mengaji al-Quran bagi menguatkan lagi keazamannya untuk berubah.

Kata beliau, dengan mengamalkan semua perkara ini, beliau dapat merasakan ada kesan positif yang Allah kurniakan kepada beliau seperti ketenangan yang belum pernah didapati beliau sebelum ini.

Dahulu, beliau sanggup mengambil hormon bagi menjadikan tubuh badannya lebih menarik sehingga pada satu masa, beliau tidak nampak apakah cara terbaik untuk beliau berubah, hasil dari tindakan itu.

Semua itu adalah kerana nafsu yang tidak berjaya dikawal, sehinggakan segala amalan baik doa-doa yang pernah diamalkannya dahulu, ditinggalkan beliau, menjadikan beliau lebih jauh terpesong dari jalan Allah.

Dan pada tahun 2011, beliau telah berusaha keras mempersiapkan dalaman dirinya bagi melakukan satu perubahan besar dalam hidupnya iaitu kembali kepada kehidupan normal, sehingga berjaya.

Beliau ditemui dalam satu Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di Dewan Auditorium JHEAT di Kompleks Seri Iman, Terengganu.

Seminar selama sehari itu adalah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu melalui JHEAT.

Guru di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja Uda, Kelang itu juga meminta agar masyarakat sentiasa memberikan dorongan dan kasih sayang kepada mana-mana golongan mak nyah yang ingin berubah kepada kebaikan.

“Bagi saya apa yang utamanya adalah golongan LGBT ini ataupun fenomena ini akan mencetuskan lebih banyak masalah sekiranya kita tidak menangani atau tidak membantu mereka dengan pendekatan yang lebih berhemah dan kasih sayang.

"Sebab apa yang utamanya, bagi saya sebagai seorang yang telah berhijrah, sebagai seorang pendakwah bebas, saya amat intim dengan konsep kasih dan sayang dan saya juga berubah dengan penuh kasih dan sayang, saya juga berubah kerana Allah.

"Kerana itu saya berjaya dalam pengekalan sebagai seorang lelaki, sebagai seorang Muslim sehinggalah ke hari ini dan doakanlah semoga saya kekal berhijrah dan saya juga mengimpikan sebuah rumahtangga sebagaimana lelaki-lelaki di luar sana insyaAllah,” kata beliau lagi.

Kepada golongan mak nyah yang ingin berubah juga beliau menasihatkan agar berubah kerana Allah, bukan kerana populariti dan terus memandang ke hadapan kerana jati diri yang kuat, perlu dalam perubahan ini.

Juga kepada golongan muda yang baru mahu berjinak-jinak untuk menjadi mak nyah beliau merayu agar tidak sekali-kali mencubanya.

Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah. - HARAKAHDAILY 29/7/2018

IMG 20180729 WA0022