Isyarat rakyat tidak puas hati kepada kerajaan

Nasional
Typography

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) yang terdiri daripada 300 NGO yang mewakili suara majoriti rakyat di negara ini terutama orang Melayu Islam ingin menegaskan perkara-perkara berikut:-

1. Semua tindakan dan keputusan kerajaan mestilah bertunjangkan kepada asas perlembagaan negara tanpa menjejaskan mana-mana fasa didalam perlembagaan. Ini demi untuk menjaga perpaduan kaum dan hubungan antara agama kekal harmoni dan sejahtera

2. Keabsahan ugama islam dan hak istimewa orang Melayu mesti tidak digugat sama sekali kerana itu adalah jaminan didalam pembentukan negara Malaysia dan merupakan elemen didalam tujuh wasiat Raja-raja Melayu. Ini termasuk tanah rezab Melayu, bantuan pelajaran dan pekerjaan disektor awam

3. Isu UEC mesti ditolak sama sekali kerana ia bukan saja bertentangan dengan dasar pendidikan negara malah akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih ketara

4. Kementerian Pendidikan mesti tegas untuk tidak memberikan sebarang peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), kerana ia tidak termasuk di bawah kurikulum dan sistem pendidikan kebangsaan, serta tiada asas di sisi Perlembagaan. Peruntukan kewangan itu seharusnya dimanfaatkan untuk kegunaan yang lebih meluas kepada rakyat, dengan meneruskan program MyBrain untuk mahasiswa pasca-ijazah melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Juga wajar digunakan untuk peruntukan sekolah-sekolah agama, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan.

5. Semua urusan dan kenyataan resmi oleh pihak kerajaan mestilah menggunakan bahasa kebangsaan dan UMMAH mendesak kerajaan mengambil langkah yang lebih serius dalam memperkasakan bahasa kebangsaan ini

6. Gerakan atau mana-mana pertubuhan yang membawa agenda liberalism, evangelism dan humanism yang berlandaskan nilai barat mesti dikekang. Kebebasan bukan bererti tanpa had tetapi sebaliknya mesti mengikut lunas-lunas agama dan budaya negara.

7. Tindakan mesti diambil ke atas mana-mana pihak yang menghina dan memperlekehkan Institusi Raja apatah lagi suara-mana yang mahu menghapuskannya.

8. UMMAH menuntut kerajaan memberikan ruang kepada UMMAH untuk berbincang dan meneliti sebarang polisi dan akta-akta baru yang hendak dikemukakan ke parlimen seperti Akta Harmoni Nasional, Akta Kebencian Agama dan Kaum serta Akta Anti-Diskriminasi Kaum dan lain-lain.

UMMAH ingin menegaskan bahawa himpunan ini adalah sebagai isyarat kepada rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan. UMMAH menuntut kerajaan segera membaiki segala kepincangan yang berlaku dan tidak menolak kemungkinan bahawa Himpunan yang lebih besar akan diadakan jika tidak ada apa-apa tindakan pembaikan dari pihak kerajaan.

Aminuddin Yahaya
Ketua Sekretariat UMMAH
28 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 28/7/2018

Himpunan: Kebangkitan rakyat terhadap kerajaan PH