Pemerintahan bersyariat Kesultanan Brunei

Nasional
Typography

KEKUATAN politik yang dicapai oleh Brunei pada abad ke-15 dan 16M banyak bergantung kepada kewibawaan Sultan-sultan dan kecekapan sistem pemerintahannya. Para Sultan yang memerintah dari tahun 1425M hingga 1598M adalah kelompok Sultan yang paling berwibawa dalam mengangkat kedudukan pengaruh politik Brunei ke kemuncak kekuasaannya. Namun bagitu, semenjak dari saat Sultan Syarif Ali menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan, Brunei telah muncul dengan kekuatan baru, iaitu sistem pentadbiran dan pemerintahan yang lebih tersusun, mengikuti sistem politik Islam Melaka dan Aceh. Bahkan, dalam soal pelaksanaan Syariat pun, Brunei mempunyai kedudukan yang lebih selesa kerana telah wujud model-model Perundangan Islam, termasuk model Aceh yang mempunyai Kanun Mahkota Alam, sesudah wujudnya Hukum Kanun Melaka. Brunei pada asasnya mempunyai dua set undang-undang yang dipengaruhi oleh Islam yang wujud pada abad ke-16M dan sering disebut sebagai "Hukum Kanun."

Pembentukan sistem pemerintahan Islam yang berasaskan model Melayu telah diterapkan di Brunei seperti mana di Melaka, tetapi berbeza sedikit kerana adanya pengaruh Arab, Jawa, Pattani dan Visaya. Namun begitu, teras utama model pentadbiran Brunei ialah pentadbiran Islam yang telah meletakkan Sultan sebagai pemimpin umat Islam dalam melaksanakan perintah Allah. Kerana itu, sejak dekad ketiga abad ke-15M, usaha-usaha mengembangkan dakwah Islam dan melaksanakan Syariat telah dipergiatkan secara besar-besaran. Salah satu tenaga penting dalam kedua-kedua fungsi ini ialah para ulamak. Sejak dari awal kewujudan Brunei, para ulamak datang berdakwah dan menyebarkan Islam, sebelum mereka terlibat dalam jentera pentadbiran kerajaan, khususnya dalam pelaksanaan Syariat. Tokoh-tokoh ulamak, diketuai sendiri oleh Syarif Ali telah menguasai pentadbiran Kerajaan Brunei dan membentuk model kepemimpinan ulamak di Nusantara, mengulangi model kepemimpinan Sultan Sayyid Abdul Aziz di Perlak pada 840M.

Struktur pemerintahan Brunei

Semenjak sistem pemerintahan beraja berdiri pada 1368M sebagai sebuah kesultanan, konsep kesucian Raja atau Devaraja telah dihapuskan dan digantikan oleh konsep Khalifah (pengganti Allah) dan pemimpin umat (Amirul Mukminin). Sultan yang bertakhta adalah bertangungjawab untuk melaksanakan perintah dan hukum Allah, selain mesti berlaku adil kepada rakyat. Sultan sebagai individu tertinggi dalam struktur pentadbiran di Brunei, bukan sahaja menjadi ketua negara, tetapi menjadi ketua agama Islam, pemutus dasar-dasar negara dan bertanggungjawab terhadap hukuman bunuh. Model pentadbiran ini tidak banyak berbeza dengan Melaka. Bahkan Hukum Kanun [Brunei] telah menetapkan bidang tugas, perintah dan tegahan terhadap Sultan dan para pembesar berasas hukum agama. Sebagai ketua Kerajaan Islam, Sultan bukan sahaja bertanggungjawab terhadap rakyat dan kerajaan, tetapi terhadap agama, di mana mereka mesti mencapai dua tujuan Kerajaan Islam iaitu menegakkan Syariat dan berdakwah untuk menyebarkan Islam.

Dalam melaksanakan pemerintahan Melayu Islam ini, pada peringkat awal, kedua-dua pengaruh - Melayu dan Arab - memainkan peranan di Brunei. Sultan Syarif Ali dikatakan berpengalaman dalam mentadbir Makkah pada zaman Sultan Malik az-Zahir menjadi Sultan Kerajaan Mamalik, sedangkan corak pentadbiran Alam Melayu mengikuti model Melaka. Pada abad ke-15 dan 16M ini, pentadbiran Brunei lebih menyerupai Melaka, sehinggalah bangkit Kerajaan Aceh pada abad ke-16M. Corak pentadbiran Aceh mula diterapkan oleh Sultan Muhammad Hassan pada 1582M dengan mewujudkan jawatan-jawatan Wazir seperti di Aceh. Antara pentadbir utama Brunei ialah Duli Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara sebagai ketua pentadbiran seperti Perdana Menteri, dibantu oleh Duli Pengiran Di Gedung Shahibul Mal (Menteri Kewangan), Duli Pengiran Pemanca Shahibul Raie wa Musyawarah (Setiausaha Kerajaan) dan Duli Pengiran Temenggung Shahibul Bahar (Kesalamatan Dalam Negeri dan Pertahanan). Dengan kewujudan struktur kerajaan yang lebih tersusun ini, kedudukan Kerajaan Brunei menjadi lebih kukuh sebagai kuasa politik Islam dan pusat perdagangan. Pada hari ini, semenjak mencapai kemerdekaan pada 1984M, Brunei menjadikan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai satu falsafah penting dalam pentadbirannya.

Pelaksanaan Syariat Islam

Proses pelaksanaan Syariat di Brunei boleh dilihat dalam lima tahap. Di mana pada setiap tahap, pelaksanaan Syariat telah mengalami situasi yang berbeza dan memberi kesan yang berbeza kepada kedudukan Brunei sebagai sebuah Kerajaan Islam di Nusantara. Lima tahapan ini ialah:

I.     Tahap kemasukan Islam

Pada peringkat yang awal ini, pelaksanaan Syariat adalah berlaku dalam sistem ibadat, muamalat dan kekeluargaan, yang ditadbir secara peribadi. Para ulamak, pendakwah dan umat Islam yang tinggal di Brunei, mereka melaksanakan kewajipan Syariah secara perbadi seperti solat, puasa dan zakat. Kehidupan keluarga mereka juga berasaskan Islam, selain pergaulan dan urusan jual beli ketika berdagang. Para ulamak selalunya menjadi rujukan hukum jika ada permasalahan yang timbul.

2.     Tahap perkembangan dakwah

Setelah tiga Sultan terawal, di mana agama masih menjadi urusan peribadi, Sultan Syarif Ali telah mengangkat Islam menjadi sistem negara. Islam menjadi agama rasmi dan pentadbiran negara berjalan mengikut lunas-lunas Islam. Sultan memberi fokus kepada pembinaan masjid-masjid, menggalakkan majlis-majlis ilmu dan mengembangkan dakwah. Tumpuan adalah untuk meningkatkan kefahaman rakyat tentang Syariat, selain menarik mereka kepada Islam.

3.     Tahap pengkodifikasian undang-undang

Setelah kedudukan Kerajaan Brunei agak kukuh, dari segi kefahaman rakyat dan pemupukan kehidupan beragama, serta jajahan takluk Brunei yang semakin melebar, Sultan Muhammad Hassan (1582-1598M) telah menggerakkan usaha untuk mewujudkan Undang-undang Negara yang lebih tersusun mengikuti model Melaka dan Aceh. Hukum Kanun Melaka dan Kanun Mahkota Alam telah menjadi rujukan dalam menggubal Undang-undang Brunei.

4.     Tahap penjajahan dan pelucutan Syariat

Pelaksanaan Syariat melalui Hukum Kanun dan Hukum Adat di Brunei telah berjalan sejak dari abad ke-16M hinggalah penguasaan British 300 tahun kemudian. Kemasukan British dan pelantikan Penasihat British pada 1906M telah menyebabkan Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariat tidak berkuat kuasa lagi. Keadaan ini berterusan sehingga Brunei mencapai kemerdekaan pada awal 1984M.

5.     Tahap pelaksanaan semula

Setelah lebih 100 tahun Undang-undang Syariat dilucutkan oleh penjajah, Sultan Hasanal Bolkiah telah menyatakan hasratnya untuk menguatkuasakan semula Undang-undang Syariat di Brunei pada 11 Oktober 2011M yang mana baginda mahu Undang-undang Syariat segera dilaksanakan selepas hampir 30 tahun mencapai kemerdekaan. Dari segi perkembangan pelaksanaan semula Syariat, selepas kemasukan British pada 1906M, Sultan Muhammad Jamal al-Alam II (1906-1924M) telah mewujudkan Enakmen Undang-undang Islam 1912M, diikuti oleh pemerkasaan yang dibuat oleh Sultan Muhammad Tajuddin II (1924-1950M) pada 1948M dengan menubuhkan Jemaah Penasihat Syariah. Sultan Omar Ali Saifuddin III (1950-1967M) pula mewujudkan Undang-undang Majlis Ugama dan Mahkamah Kadi 1956M dalam rangka mengukuhkan semula kedudukan Syariat di Brunei, termasuk memaktubkan semula Islam sebagai agama rasmi Brunei dalam Perlembagaan 1959M. Sultan Hasanal Bolkiah kemudiannya mewujudkan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 yang melibatkan kesalahan Hudud, Qisas dan Takzir yang dikenali juga sebagai Kod Panel Syariah.

Pelaksanaan Syariat di Brunei yang berlaku pada tahap ketiga (1582-1906M) boleh dilihat melalui dua teks undang-undang iaitu Hukum Kanun [Brunei] yang mempunyai 79 halaman dan Undang-undang dan Adat Brunei Lama yang terdiri dari 68 halaman. Teks-teks ini dikenali juga sebagai "Naskah Lawas," dan mengandungi pengaruh Islam yang kuat. Ramai pengkaji mengatakan ia dipengaruhi oleh Hukum Kanun Melaka. Kandungan Naskah Lawas ini meliputi 47 fasal yang melibatkan undang-undang peraturan, tegagan dan hukuman berkait bidang kuasa Sultan dan pembesar, Undang-undang Muamalat Islam dalam urusan jual beli, gadaian dan wadiah, Undang-undang Jenayah termasuk Hudud, Qisas dan Takzir, undang-undang keterangan dan acara, Undang-undang Tanah dan Undang-undang Keluarga. Undang-undang yang dikodifikasi pada zaman Sultan Mohammad Hassan ini, telah siap digubal dan dilaksanakan pada zaman Sultan Abdul Jalil Akbar (1598-1658M).

Para Ulamak dalam pengembangan Islam di Brunei

Dalam mengukuhkan pentadbiran dan pemerintahan Islam serta pelaksanaan Syariat, peranan para ulamak sangat dominan di Brunei. Semenjak awal sejarah Brunei, telah dicatatkan peranan ulamak sebagai para Diplomat termasuklah Sheikh Nuh, Abu Ali dan Qadhi Kassim yang pernah diutuskan ke China pada akhir abad ke-10M. Pada peringkat kedua, ketika setelah berdirinya Kerajaan Islam, terutama bermula pada zaman Sultan Syarif Ali, peranan ulamak dalam kepemimpinan negara begitu menonjol sekali. Para pengkaji ternama seperti Wan Mohd Saghir mengatakan bahawa Syarif Ali adalah seorang ulamak-pendakwah dari Taif yang telah diangkat menjadi Sultan Brunei pada 1425. Beliau bukan sahaja telah memulakan kepemimpinan Ahli Bait, tetapi juga kepemimpinan ulamak di Brunei. Beliau sendiri yang menggerakkan pembinaan masjid-masjid, majlis-majlis ilmu, penyebaran dakwah dan pelaksanaan Syariat. Sebagai seorang Sultan, kekuasaan yang dimiliki digunakan untuk menegakkan hukum Allah. Kemudian, anak cucu baginda seperti Sultan Sulaiman dan Sultan Bolkiah, Sultan Muhammad Hassan dan Sultan Abdul Jalil Akbar telah meneruskan model kepemimpinan ulamak melalui perluasan wilayah dan pelaksanaan Syariat.

Penglibatan individu para ulamak di Brunei boleh dikatakan berlaku pada setiap abad sama ada sebagai pentadbir, pegawai agama, guru-guru mahupun sebagai pendakwah. Dalam tempoh 500 tahun, muncul nama-nama besar seperti Syed Alwi al-Faqih Muqaddam, Sheikh Sulaiman Abdul Rahman Abdullah Nurullah, Sheikh Adam dan Sayyid Abu Bakar (datuk kepada Sheikh Muhammad al-Arshad al-Banjari), Sayyid Hassan al-Hadad, Sheikh Hud dan Imam Yaakub pada yang berkecimpung pada dua abad yang pertama sejak abad ke-15M. Setelah pengaruh Brunei meliputi seluruh Borneo dan Filipina, muncul pula tokoh-tokoh ulamak pada abad ke-18 dan 19M seperti Sheikh Ahmad Khatib Sambas, Abdul Latif Abdul Qadir Banjar, Sheikh Nuruddin Tekarang, Sheikh Othman Syihabuddin al-Funtiani dan Syed Manshor Abu Bakar al-Idrus Baram, yang merupakan ulamak-ulamak besar di Alam Melayu. Pada abad ke-19M pula, muncul tokoh-tokoh ulamak seperti Dato Ahmad Abdul Latif Banjar, Sheikh Mohd Saad Sambas, Pengiran Abdul Momin Pengiran Sabtu dan Sheikh Othman Abdul Wahab Sarawak. Yang berkhidmat dengan pemerintah pula termasuklah Pehin Dato Imam Mokti Nasar, Pehin Siraja Khatib Abdul Razak Hassanudin, Pehin Siraja Khatib Abu Hanifah Mohd Salleh dan Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Awang Umar Rendah. Memasuki abad ke-20 muncul dua tokoh ulamak terkemuka di Brunei iaitu Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Ismail Omar Abdul Aziz dan Prof Dr Mahmud Awang Saedon. Sekadar menyebut beberapa nama mewakili para ulamak pada setiap abad, yang menunjukkan bahawa ulamak adalah tulang bekakang kekuatan Kerajaan Brunei.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
8 Zulqaedah 1439 / 21 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 26/7/2018