Adakah Lebuhraya Pan Borneo capai sasaran?

Nasional
Typography

ASAL usul jalan utama yang dirancang menghubungkan negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang luas dengan Brunei bermula di antara tahun 1960-an ketika ia dikenali sebagai Lebuhraya Trans-Borneo. Dorongan untuk perhubungan jalan raya yang lebih baik di seluruh Sabah dan Sarawak berkembang pada tahun 70-an, yang membawa kepada pelan oleh Kerajaan Malaysia (kedua-dua Persekutuan dan negeri), Brunei dan Kalimantan Indonesia untuk mengembangkan lagi idea pembinaan sebuah lebuh raya di sepanjang pantai Borneo. Ia akan dipanggil Lebuhraya Pan Borneo.

JOFRIUntuk mempercepat pertumbuhan sosioekonomi Sabah dan Sarawak, satu usaha besar untuk membangun dan menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada April 2013 sebagai sebahagian daripada janji 'AkuJanji' Kerajaan kepada negara. Ini diikuti oleh komitmen dalam Belanjawan 2015.

Apabila siap pada pertengahan 2021, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Merapok dijangka merangkumi jarak sejauh 1,060 km. Jalan empat lorong dua hala yang akan datang dan Lebuhraya Pan Borneo bebas tol dijangka menjadi tulang belakang pengangkutan di negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan akan memainkan peranan utama untuk membuka koridor ekonomi dan peluang di kawasan yang ia perolehi.

Banyak persoalan timbul apabila berlaku peralihan kuasa di peringkat pusat di mana sebelum ini kerajaan Barisan Nasional telah meluluskan bajet untuk projek Lebuhraya Pan Borneo untuk disiapkan pada 2021.

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi sektor di Sarawak, yang melibatkan jarak 1,089 km, dijangka siap lebih awal daripada jadual. Bernama melaporkan, pembinaan yang dijangka siap pada 2021 itu kini berada pada kadar dua peratus lebih cepat bagi pembinaannya.

Adakah Lebuhraya Pan Borneo mencapai sasaran apabila Kerajaan Persekutuan telah beralih dari kerajaan Barisan Nasional (BN) ke Pakatan Harapan (PH)? Kalau dipandang dari sudut ekonomi dan peluang untuk meluaskan lagi ruang perniagaan antara Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimatan Indonesia memang Lebuhraya Pan Borneo adalah salah satu cara terbaik untuk membangunkan Borneo secara keseluruhannya.

Bolehkah kerajaan PH meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo dalam kemelesetan ekonomi semasa? Kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo juga perlu dipantau supaya tidak berlaku ketirisan dan ia akan mengurangkan kos pembinaan dengan memberi banyak peluang kepada kontraktor tempatan yang berkelayakan untuk menjalankannya. Tender terbuka yang dicadangkan oleh Menteri Kerja Raya baru juga harus diberi perhatian supaya ia tidak menambah kos kepada bajet yang telah diluluskan sebelum ini.

Ada beberapa persoalan timbul, apabila kita mendapati pembinaan Lebuhraya Pan Borneo menggunakan buluh sebagai bahan untuk menahan berat beban lebuh raya. Kenapa mesti menggunakan buluh dan adakah bahan ini sesuai untuk menahan beban berat untuk pembinaan lebuh raya? Adakah bahan ini sesuai dan dapat menjimatkan kos pembinaan lebuh raya yang memakan kos berbilion ringgit?

Begitu juga jarak yang ditempuh dipaksa melalui sempadan Brunei di mana kenderaan dari Sabah ke Sarawak dan sebaliknya terpaksa menggunakan pasport untuk meneruskan perjalanan seterusnya. Adakah Kerajaan Malaysia membuat perjanjian dengan Kerajaan Brunei supaya perjalanan melalui Brunei diberikan kelonggaran seperti perjalanan menggunakan pasport biasa? Adakah kerajaan merancang untuk menggunakan cara lain tanpa menggunakan pasport untuk pergi ke destinasi tanpa melalui Brunei?

Kami menggesa isu ini diberi pertimbangan yang sewajarnya untuk perjalanan menggunakan Lebuhraya Pan Borneo akan memberi faedah kepada penduduk Borneo khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak dan Brunei dan ini akan meningkatkan lagi ekonomi negara. Diharap pihak yang berkenaan dapat memberi jawaban tentang persoalan yang tersebut di atas.

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak - HARAKAHDAILY 25/7/2018