Tutup IPG KB: Sikap Kerajaan dikesali

Nasional
Typography

HARI ini (25 Julai 2018) saya telah menerima jawapan bertulis daripada Menteri Pendidikan untuk soalan saya yang meminta kerajaan menyatakan sikap terkini kerajaan terhadap Institut Pendidikan Guru (IPG) yang sebelum ini telah diumumkan bahawa 9 buah IPG di seluruh Negara akan ditukar fungsi kepada institut lain. Melalui jawapan bertulis Menteri Pendidikan hari ini, dapat dibaca bagaimana sikap kerajaan yang terus bertegas dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Mei 2017 yang bersetuju agar penukaran fungsi 9 IPG kepada institut TVET diteruskan.

Saya percaya jawapan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan pada hari ini sangat mengecewakan warga pendidik khususnya di Kelantan. Semalam (24 Julai 2018), di dalam Ucapan Perbahasan Titah DiRaja saya telah menyentuh berhubung penutupan IPG Kota Bharu ini yang saya sifatkan sangat tidak sepatutnya berlaku. Sejak semalam sehingga hari ini, Ahli-ahli Parlimen di dalam Ucapan Perbahasan Titah tidak henti-henti menyentuh berhubung penutupan IPG di kawasan masing-masing yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan keputusan ini baik dari Pakatan Harapan (PH) mahupun dari blok Pembangkang.

Khusus untuk IPG Kota Bharu, perlulah dinyatakan bahawa Kelantan mempunyai lebih 32 000 orang guru dalam perkhidmatan yang mana dari tahun 2011 hingga 2018, seramai 20 904 orang guru-guru ini dilatih, diberi kursus peningkatan profesionalisme seperti Kursus KBAT, MBM MBI, Linus, Penyelidikan dan sebagainya oleh IPG Kota Bharu. Jika fungsi IPG Kota Bharu ditukar, ke manakah guru-guru ini akan dihantar untuk menjalani kursus? Berapakah kos untuk guru-guru ini berkursus di IPG lain di luar Kelantan.

Begitu juga dengan bantuan kepakaran kepada sekolah-sekolah orang asli di Kelantan. Dari tahun 2010 hingga 2018 lebih daripada 114 program bersama sekolah orang asli dikendalikan oleh IPG Kota Bharu.

Tidakkah wajar untuk Kerajaan Malaysia mempertimbangkan satu-satunya IPG di Kelantan ini terus beroperasi? Jika diteruskan hasrat untuk menutup IPG Kota Bharu ini, Kelantan akan menjadi salah satu daripada dua negeri (termasuk Perlis) yang tidak mempunyai IPG di bumi mereka!

Sepatutnya Kerajaan PH membuka amalan baru. Menteri Pendidikan sepatutnya melihat isu ini dengan lebih peka. Saya tidak tahu, masihkah pentadbiran baru negara ini masih dibelenggu oleh prejudis dan dendam sebagaimana pentadbiran sebelum PRU14?

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
25 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 25/7/2018

 

FB IMG 1532509509013

FB IMG 1532509513716